Oleh: Jaafar Abd Wahid
SANDAKAN: Jabatan Kerja Raya Sandakan akan melantik sebuah konsultan bebas ( independent consultant) bagi membuat kajian dan mereka bentuk jambatan baharu untuk jalan di Libaran Bypass SPS2 ke Fulliwah Sandakan.
Timbalan Ketua Menteri Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata kerosakan sebanyak dua kali jambatan yang dibina sebelum ini merupakan antara punca utama jalanraya tersebut sehingga kini tidak dapat digunakan walaupun ianya telah disiapkan pada tahun 2014.
“Jalanraya ini sebenarnya tidak bermasalah, yang menjadi punca ianya sehingga kini tidak boleh digunakan disebabkan masalah jambatan yang sudah dibina sebanyak dua kali runtuh, justeru saya meminta Jurutera daerah Sandakan mengambil tindakan susulan agar jambatan baharu dapat dibina” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di sini pada Ahad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila Mokran Ingkat,Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Mohd Jasmin Juplin dan Jurutera daerah Jabatan Kerja Raya Sandakan Diane Alvin William.
Sebelum itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut meninjau projek Jalan Raya dan Jambatan di Batu 25 Kampung Sungai Monyet dan Kampung Sungai Dundulit .
Menurut Bung beliau difahamkan satu mesyuarat teknikal akan diadakan hari ini bagi membincangkan kaedah pembukaan jambatan lama yang runtuh dan tindakan penyelasaian selanjutnya.
“Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segara bagi mempastikan jalanraya ini boleh digunakan oleh pengguna jalanraya yang dapat menjimatkan masa perjalanan selain mengurangkan kadar kesesakan yang berlaku bagi kenderaan yang bergerak ke bandar Sandakan dan lain lain distenasi ” jelas Bung