KUNDASANG: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam hari ini mengadakan lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang terjejas akibat tanah runtuh susulan hujan yang berterusan pada minggu lalu.
Antara kampung yang dilawati ialah
Naradau, Kauluan, Cinta Mata, Lembah Permai, Kinasaraban, Sokid Bundu Tuhan, Lahanas dan Kundasang lama (Nagai).
“Pihak konsesi sudah diarahkan untuk mengambil tindakan dengan kadar yang segera. Demikian juga dengan Jurutera Daerah (DE) Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan susulan,” kata Dr. Joachim.
Beliau berkata pihak konsesi perlu mengambil tindakan segera kerana ada di antara jalan terbabit yang membahayakan pengguna jalan raya.
“Keadaan jalan tanah merah Kampung Pinausok Kauluan dalam keadaan merbahaya dan saya menasihatkan penduduk untuk berhati-hati,” katanya.
Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berharap agar penduduk DUN berkenaan terutama yang terjejas dapat bersabar kerana pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berjalan menghadkan pergerakan semua orang termasuk pihak konsesi jalan raya.
“Saya berharap penduduk kampung berhati-hati ketika melalui jalan yang berlumpur serta berlubang,” katanya.
Kejadian tanah runtuh dan kerosakan jalan raya di kawasan DUN Kundasang tersebut juga telah menarik perhatian dan reaksi pelbagai pihak.