Parti Warisan (WARISAN) menjunjung kasih keputusan Majlis Raja-Raja yang telah menyatakan dengan jelas supaya pemerintahan darurat tidak disambung apabila tempoh darurat tamat tempoh pada 1 Ogos 2021. Ternyata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja Melayu amat prihatin akan kesusahan dan kepayahan rakyat di dalam negara ini, apabila dunia dilanda wabak Covid-19.
Keputusan yang dizahirkan secara bersama oleh Majlis Raja-Raja adalah tepat kerana sepanjang tempoh pemerintahan darurat berlangsung sejak beberapa bulan yang lalu, angka korban Covid- 19 yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menunjukkan sebarang penurunan, sebaliknya kes-kes positif semakin bertambah saban hari. Situasi ini amat membimbangkan bukan hanya memberi kesan yang teruk kepada keadaan ekonomi negara, malahan institusi kesihatan dan juga kesejahteraan serta keselamatan rakyat juga terjejas.
Banyak negara-negara lain di dunia yang tidak berada dalam pemerintahan darurat tetapi masih mampu mentadbir urus dan membendung penularan pandemik Covid-19 ini dengan baik, selain daripada memudahcara pemberian vaksin secara menyeluruh kepada semua rakyat, tidak kira yang berada di dalam bandar mahupun di kampung-kampung. Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar sidang parlimen segera bersidang sangat bertepatan dengan usaha setiap wakil rakyat semua parti yang diwakili dalam usaha dan ikhtiar membantu rakyat yang saban hari dihimpit kepayahan kesan dari pandemik Covid-19.
Dengan membuka semula Dewan Rakyat bagi membolehkan sidang parlimen diadakan, perbincangan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara terutama yang melibatkan perbelanjaan berkaitan Covid-19 juga akan dapat diteliti dan disemak-imbang dengan lebih berkesan agar ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya. Perkara ini penting supaya tiada seorang pun rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini tidak terbela nasib diri dan keluarganya. Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mempunyai tanggungjawab dan amanah besar bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka dibela dan diambil peduli.