KGKS Sambut Baik Agihan 10,000 unit komputer riba kepada pelajar SPM, STPM

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik agihan sebanyak 10,000 unit komputer riba (Laptop) di bawah Program Bantuan Ehsan Komputer (BAIK) Kerajaan Negeri Sabah yang diumumkan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor baru-baru ini.

Advertisements

Setiausaha Agung KGKS Fadzil Mohd Jamil berkata pertubuhan bukan kerajaan itu berpendapat keputusan itu adalah tepat pada masanya serta bersesuaian dengan situasi pandemik semasa negara dan negeri.

“Agihan kepada pelajar-pelajar Miskin Tegar yang akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga boleh mengurangkan bebanan dan kekangan dalam menjalani pembelajaran digital yang dilaksanakan diseluruh negara ketika ini.

“Walaupun agihan ini tidak menyeluruh dan masih kurang dari segi bilangan namun langkah ini suatu tindakan yang sangat diharapkan dan ke hadapan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan di Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bantuan itu amat diperlukan oleh murid-murid berkenaan “kerana kekurangan kemampuan memiliki komputer oleh murid-murid ini sememangnya difahami dan dimaklumi”.

Fadzil berkata pemberian itu merupakan anugerah yang didambakan serta kurniaan yang amat besar nilainya.

“Ini kerana halangan terbesar dalam arus pendidikan digital semasa pandemik ini adalah ketiadaan peranti yang bersesuaian serta kemudahan internet yang bermasalah dari segi capaian.

“Pemberian ini dilihat boleh mengurangkan bebanan tugas guru dan mengubat kekecewaan para guru khususnya penyertaan menyeluruh murid dalam pembelajaran atas talian PDPR (Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah),” tambah beliau.

Katanya keprihatinan warga guru terhadap kualiti pembelajaran murid menjadi keutamaan agar tidak berlaku keciciran dan tidak ada murid yang tertinggal di belakang.

“Sesungguhnya proses pembelajaran tetap dilaksanakan dan perlu diteruskan dalam situasi pandemik semasa agar keciciran ilmu tidak berlaku dan hak belajar murid-murid tidak dinafikan.

“Justeru dengan adanya pemberian ini akan membantu dalam memudahkan proses PDPR dan pembelajaran berlaku seperti yang dirancang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata KGKS menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah serta tindakan yang diambil khususnya dalam usaha memperkasakan pendidikan di negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles