KOTA BELUD: Kadamaian telah mengalami pertumbuhan pelancongan yang perlahan tetapi stabil dengan komuniti setempat kekal tabah mengharungi cabaran pandemik bagi mencapai pelancongan desa bertaraf dunia menjelang 2025.
Sejak aktiviti pelancongan dibenarkan beroperasi, rakyat tempatan telah mengunjungi semula tempat-tempat rekreasi yang dikendalikan secara persendirian atau oleh komuniti.
Keadaan ini menyaksikan pelancongan luar bandar di Kadamaian kembali bernafas walaupun dalam kadar yang perlahan.
Meskipun terjejas teruk oleh pandemik, presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Duis Kandayon, berkata ia tidak melemahkan semangat komuniti setempat untuk terus bekerjasama dalam meningkatkan pelancongan di daerah ini.
“Berdasarkan penilaian saya, Kadamaian kini berada pada 50 peratus untuk mencapai visi 2025 dari segi pengetahuan mengenai pelancongan berasaskan komuniti, pengurusan hospitaliti, kemahiran organisasi, dan kemudahan infrastruktur.
“Kerajaan negeri dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) terus memberikan sokongan moral dan bantuan kepada pengusaha pelancongan luar bandar di sini, terutama pada masa-masa sukar.
“Lebih-lebih lagi, geran khas di bawah Sabah New Deal telah banyak memberi dorongan motivasi kepada pengusaha pelancongan desa Kadamaian di mana bantuan ini digunakan sepenuhnya untuk menaiktaraf kemudahan sedia ada seperti membina tandas awam, pondok, atau dewa mini,” katanya.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, telah mengunjungi Kampung Tambulian Ulu di sini untuk meninjau perkembangan kerja-kerja menaiktaraf di pusat rekreasi Tomodo Paradise, pada Sabtu.
Beliau turut ditemani oleh timbalan pengurus besar STB Julianus Jimit.
Tomodo Paradise adalah antara beberapa lokasi pelancongan desa milik persendirian yang dikendalikan di sepanjang Sungai Waliu. Pusat pelancongan itu mempunyai sembilan pondok rehat, tandas awam, dewan mini, dan jaket keselamatan sedia ada.
Di sepanjang sungai itu juga terdapat lima tempat rekreasi pelancongan berasaskan komuniti iaitu Terintidon, 3V Nahaba, Desa Pelancongan Tegudon, Kalangadanku, dan Telungan.
Pengurus Tomodo Paradise, Viannie Maihthy Juin berkata, mereka mula beroperasi pada Mei 2018 dan mencatatkan lebih daripada RM30,000 hasil pelancongan dalam lapan bulan pertama tahun tersebut.
Selain dari pengunjung domestik, pusat itu turut merekodkan kedatangan pelancong antarabangsa dari China, Amerika Syarikat, dan Eropah.
“Buat masa ini, seperti pengusaha pelancongan lain di Kadamaian, kita bergantung pada pengunjung tempatan. Mereka telah menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan ketika pandemik dan ramai yang mahu mengunjungi tempat-tempat pelancongan tepi sungai di Kampung Tambulian untuk aktiviti keluarga,” katanya.
Tambahnya, Tomodo Paradise telah memohon geran khas di bawah Sabah New Deal dan pusat itu kini sedang membina sebuah chalet yang mempunyai dua unit bilik untuk pengunjung masa depan yang ingin bermalam.
Pusat rekreasi itu juga telah membina anak tangga menuju ke sungai bagi keselesaan para pengunjung.
Sementara itu, Joniston berkata, STB sentiasa komited untuk memperkasakan pengusaha pelancongan luar bandar serta pelancongan berasaskan komuniti dengan menyediakan bantuan yang diperlukan.
“STB bersedia membantu komuniti luar bandar meningkatkan dan mempromosikan produk pelancongan berpotensi mereka dengan cara terbaik. Pada masa sama, penduduk kampung juga harus mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan pelancongan dan ekonomi di daerah masing-masing,” katanya.