oleh Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bertekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak wanita di negeri ini yang sebelum ini berjaya menghasilkan ramai pemain berbakat.
Pemangku Presiden SAFA Dato Sri Bung Moktar Radin berkata terdapat bekas pemain bola sepak wanita Sabah yang menyinar bukan hanya pada peringkat negeri malah diperingkat nasional.
“Sabah mempunyai rekod pernah menjuarai kejohanan sebanyak 14 kali dalam kejohanan piala Tun Sharifah Rodziah malah ada pemain kita dipilih mewakili negara dan menjadi ketua pasukan kebangsaan,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan sijil pelantikan pegawai-pegawai dan pemain-pemain pasukan bola sepak wanita Sabah di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Agung SAFA Benedict Asmat dan Pengurus Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah Datuk Jelani Hamdan.
Menurut Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri, beliau difahamkan semasa sesi pemilihan pemain seramai 80 orang telah menghadiri sesi pemilihan yang memberikan gambaran sukan bola sepak wanita mendapat perhatian dari kalangan pemain-pemain wanita di negeri ini.
“Dari jumlah tersebut kita hanya memilih mereka yang benar-benar layak dan berkeupayaan untuk mewakili pasukan Sabah untuk kejohanan kali ini,” katanya.
Selain itu, Bung berkata lebih banyak program pencarian bakat-bakat baharu akan dilaksanakan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berkebolehan dan ini telah dimulakan dengan Kejohanan Bola Sepak bagi merebut piala yang telah beliau sediakan.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan pasukan bola sepak Wanita Sabah yang diketuai oleh Jelani kerana berjaya menyusun satu pasukan yang diyakini boleh membawa kejayaan cemerlang untuk pasukan tersebut.
“Saya berharap para pemain yang terpilih akan menunjukkan komitmen yang tinggi bagi membawa pasukan Bola Sepak Wanita Sabah untuk mencapai tahap kejayaan yang membanggakan sebagaimana yang pernah dilalui sebelum ini,” jelas Bung.
Sementara itu, Jelani berkata pihaknya berazam untuk membawa pasukan bola sepak Wanita Sabah mencipta kejayaan dalam setiap perlawanan yang dihadapi dan ini sudah tentu akan dapat dicapai melalui semangat bekerja berpasukan antara para pemain dan pegawai-pegawai yang telah dilantik mentadbir pasukan tersebut.
“Bagi meningkatkan pengalaman para pemain pasukan bola sepak Wanita Sabah kita bukan sahaja menjalani latihan di tempat sendiri tapi jika keadaan mengizinkan kita akan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara termasuk di Belanda dan ini sudah ada dalam perangancan kita dan saya yakin ianya boleh dijayakan,” jelas Jelani.