PUTATAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata desas desus yang mengatakan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menubuhkan kerajaan baharu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya merupakan propaganda pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat atau cuba “merosakkan” perpaduan anggota parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Untuk makluman, GRS berada dalam keadaan politik yang stabil. Kita telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah dan fokus kita ialah memajukan negeri Sabah.
“Saya tidaklah menumpukan isu-isu seumpama ini kerana hari ini pun Setiausaha Agung PBS telah menafikan perkara ini. Ia hanya dimainkan oleh pihak tertentu untuk menggangu-gugat perpaduan kita dalam GRS,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Meruntum, Putatan hari ini.
Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa Warisan akan menubuhkan kerajaan baharu dengan parti tempatan termasuk PBS, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mengenai kebakaran di Meruntum, beliau berkata kerajaan negeri akan membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Beliau berkata mangsa-mangsa kebakaran juga dibenarkan membina semula rumah mereka secara tersusun di perkampungan itu yang merupakan tanah kerajaan.