KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin merakamkan penghargaan dan ucapan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh masyarakat pekerja di Sabah khususnya para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengekang penularan Covid-19.
“Besarlah harapan saya agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Pekerja pada Sabtu.
Ellron berkata seperti tahun lepas, Hari Pekerja pada tahun ini juga jatuh pada bulan Ramadan.
“Dengan situasi semasa yang mana kita masih lagi berjuang menentang penularan Covid19, sudah pasti tiada perhimpunan atau acara besar bagi menyambut Hari Pekerja pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata dengan trend kes dunia sedia ada, wabak COVID-19 dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama dan tidak berakhir dalam jangka masa yang terdekat.
Walaupun tiada sambutan Hari Pekerja 2021, namun sumbangan dan pengorbanan para pekerja sektor awam dan swasta selama ini amat dihargai oleh pihak Kerajaan, katanya.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi- tinggi penghargaan dan juga ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada para petugas barisan hadapan kita – doktor, jururawat, polis, tentera, anggota RELA, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta,” katanya.