Penjawat Awam Perlu Komited, Kreatif untuk Laksanakan Dasar Peringkat Daerah

PAITAN: Pelaksana dasar yang komited, sehati sejiwa, dan kreatif di samping mampu menggunakan segala pengalaman yang ada, amat diperlukan di setiap daerah.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, para penjawat awam yang merupakan pelaksana dasar di peringkat daerah perlu tampil lebih berkomitmen dan kreatif untuk memberi nilai tambah kepada jabatan demi kebaikan daerah di bawah jagaan mereka.

“Biarlah pentadbiran daerah ini benar-benar dapat bekerjasama secara bersepadu, wujud keserasian telepati, di samping membudayakan profesionalisme sebagai penjawat awam untuk sentiasa bekerjasama dengan kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membuat Lawatan Kerja di Pejabat Daerah Kecil Paitan, sini baru-baru ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki, Pegawai Pembangunan Masyarakat N.48 Sugut, para ketua-ketua Jabatan, serta beberapa pegawai dari Pejabat Menteri KPLB Sabah.

Katanya, para penjawat awam perlu menganggap sesuatu pekerjaan yang dilakukan mereka sebagai satu ‘ibadat’, agar wujud keseronokan dan semangat untuk bekerja.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, ianya merupakan satu bentuk sumbangan kebajikan kepada
masyarakat dan negara, dan secara tidak langsung, mereka rasa puas kerana sumbangan kecil mereka kelak berjaya membangunkan negara.

“Kerjasama dengan ‘government of the day’ juga amat penting, agar nilai profesionalisme kita sentiasa terjaga,” katanya.

Pada program tersebut turut diadakan Taklimat Pembangunan Daerah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan, Joloning Joe Majambu.

Dalam ucapannya, Joloning berterima kasih kepada Jahid atas kesudian melawat mereka dan berharap ianya bukanlah kali pertama dan terakhir menteri berkenaan datang ke situ.

Jahid, bersama semua pemimpin yang hadir, turut berkesempatan meninjau di sekitar kawasan bangunan pejabat berkenaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles