Oleh Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Bung Moktar Radin petang Rabu menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah Sadim Haji Abdul bersama pegawai-pegawai kanan JPJ Sabah.
Dalam perjumpaan tersebut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, diberikan penjelasan berhubung perpindahan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang sebelum ini dibawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur kini dibawah JPJ yang dikenali sebagai Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat manakala struktur JKJR menyaksikan setiausahanya masih dipegang wakil dari kementerian Kerja Raya.
Turut disentuh dalam perjumpaan tersebut ialah laporan kadar kemalangan jalanraya yang membawa kematian yang mana kebanyakan mangsa adalah penunggang motosikal.
Sebelum ini dilaporkan tidak kurang dari 400 mangsa maut dalam kemalangan jalanraya di negeri ini namun angka tersebut menurun pada tahun lepas iaitu lebih daripada 200 mangsa kemalangan jalanraya yang maut.
Sadim turut memaklumkan cadangan untuk mewujudkan beberapa cawangan baharu JPJ di beberapa daerah termasuk di Tongod dan di Batu 32 Sandakan yang bakal memberikan keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyambut baik cadangan tersebut dan akan membawa cadangan tersebut ke Kementerian Pengangkutan untuk memohon peruntukan agar cadangan-cadangan ini dapat diberikan pertimbangan kelulusan peruntukan untuk dilaksanakan.