OCP Daratan ESSCOM tahan 9 PATI dan 2 tekong darat di Tawau

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini menahan 9 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 2 kenderaan berasingan, di Kampung Sri Pantai, dekat sini, semalam.

Advertisements

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan di sini berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.00 petang itu, sepasukan anggota keselamatan yang diketuai oleh 3 anggota ESSCOM dan dibantu oleh 12 anggota pasukan gerakan am (PGA) dan Polis Marin ketika sedang melakukan rondaan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM telah terserempak dan menahan 2 buah kenderaan di Lorong Haji Awang, Kampung Sri Pantai.

Beliau berkata dalam tangkapan pertama, pasukan OCP Daratan ESSCOM telah menahan dan memeriksa sebuah Kenderaan jenis Toyota Corolla Wagon berwarna putih yang melalui laluan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu bersama 2 penumpang di dalam kenderaan berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah”, katanya.

Manakala untuk tangkapan kedua, Beliau berkata pasukan OCP Daratan ESSCOM telah menahan dan memeriksa sebuah lagi kenderaan proton saga berwarna rose gold di laluan yang sama dan hasil pemeriksaan mendapati 7 penumpang berada di dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan bersesak tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

“Siasatan lanjut terhadap kesemua pati mendapati mereka dipercayai baru tiba di daerah ini melalui Nunukan, negara jiran Indonesia.”

“Turut ditahan 2 tekong darat dan menyita 2 buah kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan.”

“Kesemua tahanan yang terdiri dari 8 lelaki dan 3 perempuan yang berumur diantara 1 – 36 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63”, katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin Tawau yang terlibat dalam operasi ini.

Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles