PBS Mampu Tawan DUN Limbahau Dalam PRN Akan Datang – Dr Joachim

PAPAR: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam yakin DUN Limbahau boleh “ditawan” daripada parti pembangkang pada pilihan raya negeri yang akan datang sekiranya pemimpin dan anggota Parti Bersatu Sabah (PBS) bersatu hati dan bekerja keras merealisasikan misi itu.

Advertisements

Sehubungan itu, beliau yang juga naib presiden PBS meminta para pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) supaya terus bekerja kuat untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada ahli parti dan rakyat keseluruhannya.

Dr Joachim berkata sebagai ahli perlu mempraktikkan saranan dan seruan Presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili untuk lebih kental, cekal dan kukuh bagi memastikan PBS akan terus relevan.

“Kita perlu ambil sikap mengetengahkan semua masalah rakyat dan jangan pula masalah yang dihadapi menjadi penghalang kemajuan parti kita,” kata Dr Joachim.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS bagi DUN Limbahau dan DUN Bongawan di sini hari ini.

Katanya: “kita tidak hanya berfokus kepada masalah yang kita hadapi tetapi juga bertindak melakukan perkara yang diyakini boleh dilakukan”.

“PBS adalah satu-satunya parti yang dipanggil Parti Keramat, Parti yang terulung di Sabah. Salah satu perjuangan PBS adalah untuk memastikan negeri Sabah membangun sama seperti negeri lain dalam Malaysia.

“Bagi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang tidak memenangi pilihanraya negeri yang lalu, ia tidak menghalang untuk kita terus maju ke hadapan. Peluang sentiasa ada dan ia bergantung kepada peringkat akar umbi parti untuk bangkit semula atau tidak,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa ahli dalam parti perlu mengamalkan semangat kekitaan, mempunyai kekuatan dan kecekalan demi mengukuh parti.

Pada masa sama katanya, PBS sebagai rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga akan terus mencari jalan membantu parti-parti bersekutu dalam kerajaan.

Sementara itu, Ketua Bahagian PBS DUN Limbahau merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Datuk Johnny Mositun berkata, ini merupakan AGM pertama diadakan bagi DUN Limbahau dan perjuangan PBS di DUN itu akan diteruskan.

Johnny memohon kepada kerajaan GRS bagi merealisasikan rangkaian jalan raya dari kampung Tampasan ke kampung Kaiduan dan kampung Bisuang, pembukaan sebuah sekolah menengah, klinik kesihatan dan juga mini balai polis di DUN Itu.

“Saya juga memohon supaya sistem perparitan dan saliran diperbaiki bagi DUN Limbahau”, kata Johnny.

Pada majlis itu, PBS DUN Limbahau menerima 300 keahlian baharu yang membuktikan bahawa parti itu terus diterima masyarakat negeri ini.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda merangkap Naib Presiden PBS, Christopher Mandut; Penolong Bendahari Agung PBS, John Masabal; Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan ahli parti DUN Limbahau dan Bongawan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles