PENAMPANG: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, telah menghadiri Lawatan Kerja Oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (Kadazan Dusun Cultural Association) (KDCA) dan Taklimat Khas KDCA di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, pada Selasa.
Rombongan JPPM Sabah dan JPPM Persekutuan itu telah disambut Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Datuk Kitingan dan Timbalan Presiden KDCA, Datuk Ir. John Anthony, Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun, dan semua Ahli Majlis Tertinggi (AMT) KDCA.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pairin bersyukur kerana KDCA telah terpilih untuk dilawati JPPM di antara ribuan pertubuhan dari seluruh Malaysia.
“Tahniah kepada Jasri atas pelantikannya dan seterusnya menerajui kepimpinan JPPM, kita doakan semoga hubungan di antara kedua-dua pihak akan berkekalan,” katanya.
Selepas itu diadakan taklimat dari KDCA/Koisaan Cultural Village (KCV), yang disampaikan oleh Timbalan Presiden KDCA, Bulawan Sigah Datuk Ir John Anthony.
Selepas sesi taklimat, kesemua ahli rombongan JPPM telah dibawa melawat ke sekitar bangunan rumah kebudayaan yang ada di KDCA dan berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan yang dibawakan KDCA Cultural Village (KCV).
Dua artis dari Tamparuli dan Tuaran yang membuat persembahan ialah anak kepada legenda tempatan, Sitim Bandaron, Rayon Sitim dan penyanyi kelahiran Tambunan, Mary Intiang.