Pemimpin PBS Perlu Setia Kepada Parti – Jahid

SEMPORNA: Para pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) diseru untuk tetap teguh, setia kepada parti, dan tidak mudah patah semangat, agar matlamat parti tercapai.

Advertisements

Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata, para pemimpin sama ada di peringkat Bahagian atau Cawangan perlu bekerjasama dan meneruskan sokongan padu, tidak berputus asa, sebaliknya terus bekerja jujur dan ikhlas kepada parti.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.66 Bugaya di Dewan Arena Belia, Semporna pada Sabtu.

Turut hadir Naib Presiden PBS, Hj Mursid Mohd Rais, Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS, Datin Malianah Ugau, dan Pengerusi Penganjur yang juga pemangku Ketua Bahagian PBS N.66 Bugaya, Hjh Fazidah Mohd Yassin.

Menurut Jahid, sekecil mana pun bilangan ahli sekiranya terus bersatu dan terus memperkuatkan Bahagian dan Cawangan, pasti mampu membawa kepada perubahan di sesebuah kawasan.

“Bertahanlah dengan keyakinan bahawa kita akan mampu membuat perubahan ini bersama PBS,” kata Jahid.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berkata, ahli PBS perlu saling berjalan bersama dengan pucuk kepimpinan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat seperti mana yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), agar menjadi realiti.

“Yakinlah hala tuju kita dalam GRS, anda berada di landasan yang betul, kerana apabila kita bersatu, matlamat kita akan tercapai,” ujar beliau.

Hadir sama memberikan sokongan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bugaya, Abdul Hussin Kiamsin dan Ketua PPBM Bahagian P.189 Semporna, Hj Daud Tampokong.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles