BELURAN: Para pemimpin parti diseru agar meneruskan momentum dan semangat kesatuan dalam parti.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, berkata, dalam usaha menguatkan parti, para pemimpin di peringkat akar umbi dan Bahagian perlu memperkasakan Cawangan, bagi menguatkan lagi sokongan rakyat kepada parti.
“Teruskan momentum dan jangan mudah berputus asa, percayalah kepada kepimpinan parti dan teruskan semangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Induk, Pemuda dan Wanita PBS Bahagian N.49 Labuk Kali Ke-35 di Dewan Koperasi Matanggar Beluran, sini, pada Jumaat.
Katanya, bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan di Sabah berjalan lancar pada masa akan datang, sokongan padu semua pihak sangat diperlukan.
Menurut Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, PBS Labuk mempunyai ramai pemimpin berpotensi yang boleh diangkat menjadi penerus kepimpinan mewakili rakyat di situ.
“Justeru, kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan hasrat agar PBS terus relevan di hati rakyat Labuk dapat direalisasikan.
Pada program tersebut juga, turut diadakan penyerahan sebanyak 270 borang permohonan menyertai PBS dan penubuhan sebanyak 3 buah cawangan baharu.
Majlis perasmian tersebut menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin tertinggi PBS termasuk Penasihat Perdana PBS merangkap Penasihat PBS Bahagian Labuk, Datuk Seri Michael Asang, Timbalan Ketua Penerangan PBS yang juga Adun N.47 Telupid, YB Jonnybone Kurum, Adun Lumadan, YB Ruslan Muharam, dan Ketua Pergerakan Wanita PBS, Datin Malianah Ugau.
Turut hadir Ketua PBS Bahagian Labuk, Zamil Ismail dan Pengerusi Penganjur, Rashid Jamiol.