Warisan : Bina Semula Malaysia Melalui Kewujudan Bersama Secara Harmoni

KOTA KINABALU : Warisan hari ini mengulangi komitmen parti itu untuk membina semula ekonomi Malaysia melalui agenda Perpaduan dan percaya bahawa agenda itu dapat dilaksanakan melalui penyertaan golongan muda.

Advertisements

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr. berpendapat bahawa walaupun agenda ‘Perpaduan’ yang diketengahkan oleh parti itu kelihatan agak sukar untuk dicapai bagi segelintir rakyat Malaysia, beliau percaya ia boleh dicapai kerana rakyat negara ini sebenarnya tidak ada masalah untuk menerima konsep pluralisme.

“Mengurangkan ketegangan serta menyemai hubungan yang baik antara kaum yang berbeza serta toleransi agama yang lebih kukuh di Malaysia mungkin merupakan tugas yang sukar bagi sesetengah pihak tetapi sebagai parti dari Sabah, sebuah negeri yang terkenal dengan sikap toleransinya, saya yakin Warisan mampu melaksanakannya.

Rakyat Malaysia, terutamanya dikalangan golongan muda, sebenarnya dapat menerima perbezaan kaum dan agama dinegara ini apabila kita semua sama-sama berkongsi pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak, roti canai dan nasi ayam Hainan, sambutan agama, pencapaian sukan oleh atlet negara dan slang yang diucapkan – sebenarnya, majoriti rakyat Malaysia samada Melayu, Cina ataupun India tidak menyukai apa-apa benda yang keterlaluan, sikap berlagak atau munafik dan tidak akan teragak-agak untuk bergabung tenaga di media sosial untuk menyerang sesiapa sahaja yang menghina Malaysia.

Asas kepada pluralisma ini sebenarnya telah ada dari dahulu lagi tetapi malangnya telah dirosakkan oleh ahli-ahli politik yang menggunakan polemik perkauman dan agama untuk menarik pengundi jesteru Malaysia amat perlukan pemimpin-pemimpin baru yang mampu memperbaiki dan memperkukuhkan semula asas ini.

Rakyat Malaysia harus menolak pemimpin-pemimpin hipokrit yang bercakap mengenai perpaduan dan keharmonian antara kaum ketika menjalankan tugas sebagai Menteri tetapi berkata yang sebaliknya semasa berpolitik – apa yang Malaysia perlukan ialah konsistensi dan Warisan telahpun membuktikan konsistensi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Presiden Warisan, Shafie Apdal dipergunakan oleh Tun Mahathir Mohamed dan mengatakan bahawa hubungan yang baik diantara kedua-dua mereka tidak bermakna bahawa Warisan dikemudikan oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Shafie telah berjuang didalam Umno selama lebih daripada 30 tahun dan sebagai bekas pemimpin tertinggi parti dan bekas Menteri kepada pelbagai Kementerian Persekutuan yang telah menunjukkan prestasi yang baik, kredibiliti dan komitmen beliau mewajarkannya untuk mendapat kepercayaan daripada Tun Mahathir lebih-lebih lagi apabila beliau (Shafie) enggan untuk berkerjasama dengan kleptokrat atau Kerajaan pintu belakang.

Tetapi ini tidak bermakna Warisan dikawal oleh Tun Mahathir – walaupun Warisan bersetuju dengan Tun dan Pakatan Harapan (PH) mengenai pelbagai isu di Malaysia seperti rasuah, kleptokrasi dan ketelusan, Warisan percaya bahawa negara ini hanya boleh menjadi ‘Harimau Asia’ sekali lagi sekiranya Malaysia mengguna-pakai model ‘kewujudan bersama secara harmoni’ yang diketengahkan oleh Warisan.

‘Kewujudan bersama secara harmoni’ inilah yang menjadi salah satu faktor penyumbang yang membolehkan Singapura mendominasi ekonomi global dan model ini kini diguna-pakai dengan bijak oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Maka secara ringkasnya, disaat negara ini sedang menghadapi kemelut ekonomi yang kritikal, Warisan ialah ‘akar’ yang sangat diperlukan oleh Malaysia untuk mengaktifkan semula ekonomi negara kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Haji Ahmad Hassan menegaskan bahawa rakyat Malaysia terutamanya di Sabah perlu sedar akan musibah ekonomi yang bakal melemahkan negara khususnya golongan muda sekiranya PN terus memerintah negara.

“Masa depan Malaysia bukan terletak di tangan PN, MN atau GRS – ia terletak di tangan pengundi-pengundi yang perlu mencari pekerjaan dan seterusnya membayar apa-apa jenis pinjaman, bill, cukai, duti dan termasuklah saman dan kompaun.

Musibah ekonomi ini adalah benar lebih-lebih lagi apabila ratusan ribu daripada golongan muda kita akan menamatkan pendidikan menengah dan pengajian tinggi mereka pada tahun ini serta hadapan dan mereka akan memerlukan pekerjaan yang setaraf dengan pendidikan mereka dengan segera agar mereka boleh memulakan pembayaran semula pinjaman pendidikan yang telah dibuat oleh mereka sendiri ataupun ibu bapa mereka.

Dan melihat kepada cara PN mengendalikan ekonomi kita pada masa ini serta sikap fanatik berpolitik yang ditunjukkan oleh Muafakat Nasional (MN), masa depan kelihatan suram untuk ratusan ribu belia muda kita ini yang kini perlu bersaing dengan 782,000 rakyat Malaysia yang sedang menganggur dan kita belum lagi mengambil kira kehadiran pendatang asing dengan izin dan tanpa izin.

Tetapi sudah tentu, disaat Umno, PH, ahli ekonomi, persatuan perniagaan dan juga badan-badan ekonomi Dunia memberikan ulasan yang tidak memuaskan tentang prestasi ekonomi negara dibawah PN, Menteri-Menteri PN pula akan mengatakan bahawa semua adalah baik dan tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles