NAFAS BERI SUMBANGAN MENERUSI PROGRAM BACK TO SCHOOL DAN ENJIN SANGKUT DI BELURAN

424

BELURAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyampaikan sumbangan Back to School dan Enjin Sangkut pada majllis penyampaian di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran, hari ini.
Bantuan Back to School yang merupakan satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara menyeluruh kepada golongan sasar khususnya kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan dalam membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah terutama ketika persediaan anak-anak ke sekolah.
Ia juga selari dengan komitmen Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memastikan kebajikan golongan ini sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan.
NAFAS telah memperuntukkan sumbangan berjumlah RM580,000 bagi program Bantuan Back to School ini di seluruh negara.
Di Parlimen Beluran, program Bantuan Back to School ini disampaikan kepada 7,000 pelajar dari 60 buah sekolah rendah. Sumbangan bantuan berupa kelengkapan persekolahan antaranya beg, buku dan alat tulis kepada setiap penerima.
Selain itu Ronald turut menyampaikan 13 buah enjin sangkut kepada penerima yang layak.
Pada majllis itu, Ronald juga menjelaskan bahawa Kerajaan melalui beberapa pendekatan terbaharu terus memperkasakan peranan NAFAS dengan melantiknya sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).
Kini, NAFAS juga dalam proses menjadi pengeluar benih padi sah dan menerusi langkah-langkah ini, beliau berharap NAFAS akan dapat menjadi pemain yang besar dalam industri padi dan beras.
Dalam pada itu, Ronald juga menggesa orang ramai untuk terus mendaftar bagi mendapatkan suntikan
vaksin Covid-19.
Beliau berkata hal ini adalah penting memandangkan Negeri Sabah adalah antara negeri yang merekodkan jumlah pendaftaran terendah.
Katanya sokongan serta kerjasama penuh rakyat terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah amat penting bagi memastikan kejayaan negara dalam melandaikan pandemik Covid-19.
Menurut Ronald lagi kerajaan sentiasa mencari inisiatif terbaik bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Terbaharu pada 17 Mac yang lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.
Pada majlis berasingan hari ini, YB Menteri MAFI turut hadir pada Program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna Beluran.
Di program itu, Dr Ronald telah menyampaikan taklimat berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Proklamasi Darurat yang sedang berkuat kuasa dalam memerangi penularan Pandemik COVID-19 serta langkah-langkah pemulihan ekonomi negara yang diambil Kerajaan bagi memastikan aspek kesihatan dan kelangsungan hidup dapat diseimbangkan.
Program ini merupakan inisiatif yang diambil Kerajaan bagi memberi penerangan di seluruh negeri ini secara berperingkat untuk memaklumkan rakyat mengenai strategi pengurusan krisis Pandemik Covid- 19 serta langkah-langkah yang diambil dalam proses pemulihan ekonomi negara.
Turut disentuh adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dilaksanakan di negara ini.