KUALA LUMPUR: UMNO adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat dan negara tetapi bukan dengan cara menggadai maruah, kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO katanya menggesa kepimpinan parti untuk berpakat dan berunding secara berhikmah dalam menjalankan kerjasama.
“Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai. Yang penting mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan,” katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2020, di sini hari ini.
Asyraf Wajdi menegaskan isu sedia bekerjasama tanpa mencairkan prinsip merupakan antara lima perkara penting sebagai pedoman dan resipi kemenangan untuk UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Empat perkara lain ialah menguasai persepsi anak muda; calon yang segar dan diterima rakyat; yakin diri, pertahan ideologi; serta perkasa jentera, jauhi sengketa.
Katanya UMNO tidak boleh sesekali berasa kerdil dan berasakan parti itu lemah sehingga rela melutut kepada seteru politik yang kononnya menjamin kemenangan dalam PRU.
Mengenai calon segar, Asyraf Wajdi berkata untuk diterima rakyat, terutama 47 peratus pengundi muda yang tidak terikat dengan sebarang ideologi mahupun parti, calon muda yang dimaksudkan bukan sekadar pelapis, sebaliknya sebagai barisan peneraju kepimpinan negara yang baharu mesti ditonjolkan.
“Maka Pemuda berpendirian, calon-calon PRU akan datang mestilah diperbanyakkan orang muda yang kompeten dan berilmu, diterima rakyat bukannya sekadar hero dalam kalangan ahli sendiri,” katanya.
Menjelaskan mengenai persiapan sayap itu untuk menghadapi PRU15, beliau berkata Pemuda tidak lagi sekadar menggalas tugas-tugas tradisi gerak gempur memasang poster, sebaliknya Skuad Sabil diberikan amanah kali pertama menguruskan keselamatan.
Skuad Sabil ialah pasukan beruniform bersifat sukarelawan diiktiraf sebagai skuad pergerakan itu dan juga UMNO.
— BERNAMA