KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin pasukan Sabah FC boleh memperbaiki kelemahan untuk menjadi pasukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini.
Katanya, tiada mana-mana pihak boleh dipersalahkan selepas pasukan tuan rumah itu tewas tipis 0-1 kepada pasukan pelawat PJ City FC di halaman sendiri, semalam.
“Saya pun ada mengikuti perlawanan dengan PJ City FC itu namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak,” katanya ketika diminta mengulas perlawanan ketiga di Stadium Likas itu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pemain-pemain import yang diturunkan dalam perlawanan itu hanya berpeluang menjalani latihan sehari bersama pasukan dan masa yang singkat itu menyukarkan mereka melakukan penyesuaian.
Menurutnya, walaupun mereka tiba empat hari lepas tetapi mereka hanya dapat berlatih sehari dan terpaksa menghadapi perlawanan.
“Pasukan kita juga baru menjalani latihan disebabkan kekangan wabak Covid-19 berbanding pasukan-pasukan lain yang telah berlatih sejak tahun lalu,”.
“Keadaan ini yang kita hadapi tetapi saya yakin pasukan akan dapat melakukan penyesuaian dalam dua atau tiga lagi perlawanan untuk membentuk persefahaman dalam pasukan,” tegasnya.
Pemangku Presiden SAFA itu bagaimanapun yakin Sabah FC sudah tentu akan cuba memperbaiki pasukan bagi memastikan persefahaman dalam pasukan.
Sabah FC ketika ini mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Melaka United setelah menghadapi tiga perlawanan.
Pasukan itu akan menentang pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 16 Mac ini dan akan melawan Terengganu FC di Stadium Likas pada 21 Mac ini.