PAPAR: Impian lebih 500 penduduk di Kampung Gana, Papar dan Kampung Kumawanan, Tambunan untuk menikmati capaian internet yang lebih baik kini menjadi kenyataan.
Berita baik itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan.
Beliau berkata langkah itu adalah selari dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) untuk menangani isu capaian internet yang terhad yang kini rungutan penduduk luar bandar.
Katanya, kemudahan jalur lebar yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan itu diyakini mampu memudahkan perhubungan komuniti, perusahaan dan institusi.
Yakub berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pemasangan CONNECTme NOW, perkhidmatan jalur lebar prabayar berasaskan komuniti melalui satelit dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama MEASAT Global Berhad (MEASAT) di Kampung Gana, Papar hari ini.
Katanya CONNECTme NOW menggunakan teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan High Throughput Satellite (HTS).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau, Juil Nuatim turut menyambut baik kemudahan yang diberikan oleh kerajaan itu.
.