SETIU:Penanaman buah secara komersial di Sabah merupakan antara aktiviti pertanian yang diberi perhatian oleh Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri.
Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Hendrus Anding berkata Longan merupakan satu tanaman yang berpotensi dan boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan di negeri ini.
Sempena lawatannya ke Ladang Longan Berlian, di Rhu Tapai, Setiu Terengganu, Hendrus berkata, rakyat Sabah yang berminat menjadi pengusaha longan perlu mengetahui cara-cara pemeliharaan, pembajaan dan purata penghasilan tanaman longan per hektar.
Sehubungan itu, katanya Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah bersedia untuk menganjurkan kursus dan bimbingan kepada masyarakat di negeri ini untuk menceburi bidang pertanian khususnya penanaman longan.
“Kita perlu memulakan penanaman buah longan di negeri ini bagi tujuan mengurangkan import buah longan dari Thailand.
Hendrus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tandek, berharap agar penduduk Tandek dapat menyahut cabarab bagi menceburi bidang penanaman longan tersebut.
“Saya menyarankan agar rakyat kawasan Tandek turut mengambil peluang ini,”katanya.
“Saya juga menyeru Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah supaya meneliti dan memberi perhatian kepada tanaman longan yang masih amat kurang di Sabah tetapi mempunyai permintaan yang tinggi.
Turut serta dalam lawatan ke ladang longan berlian itu ialah Pengarah pertanian, Zulkepli Amin Yusof, Pengarah FAMA, Che Ghani Che Wan, dan Timbalan Pengarah FAMA, Azhar Jamaluddin.