Ketibaan Vaksin bawa Sinar Baharu Dalam Perang Melawan Covid-19 – Salleh

410
Salleh Keruak
Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU: Ketibaan vaksin  Pfizer-BioNTech di Malaysia membawa sinar baharu kepada perjuangan negara melawan wabak Covid-19 daripada terus merebak, sekaligus memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata susulan ketibaan vaksin itu, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bakal dimulakan minggu ini yang meliputi tiga fasa.

Beliau berkata fasa pertama imunisasi itu membabitkan petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan yang dijadualkan tamat pada April.

Katanya fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. 

“Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini dan akan memanfaatkan sejumlah  9.4 juta rakyat,” katanya menerusi hantaran terbaharu di blognya.

Salleh berkata fasa ketiga pula dikhususkan untuk golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang bermula Mei hingga Februari 2022.

“Fasa inilah yang diharapkan untuk membentuk imuniti kelompok yang dapat mengawal pandemik secara menyeluruh. Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, program ini dijangka meliputi lebih 80% atau hampir 27 juta rakyat menjelang suku pertama 2022,” katanya.

Bagi Sabah, Salleh berkata kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 3 juta rakyat untuk menerima vaksin tersebut menjelang Februari tahun hadapan. 

Katanya terdapat lima kaedah untuk mendaftar sebagai penerima vaksin iaitu melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, talian hotline, pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas.

Bagaimanapun, katanya proses itu memerlukan kerjasama dan muafakat dari semua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan, pembangkang, ketua-ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  dan tentu sekali rakyat Sabah. 

Inilah masanya rakyat menunjukkan kesatuan dan perpaduan dan mengetepikan perbezaan politik demi memastikan rakyat akhirnya selamat dan pulih daripada bencana itu, katanya.

“Saya sebagai ADUN Usukan akan memberikan sepenuh komitmen, kerjasama dan bantuan agar program ini memanfaatkan penduduk Usukan. 

“Selain daripada membantu Majlis Keselamatan Negara mendapatkan senarai pendaftaran penerima vaksin dalam fasa kedua dan ketiga, kita juga menerusi SSK Centre akan membantu penduduk dari segi penyampaian maklumat terkini sehinggalah bantuan logistik untuk membawa penduduk yang memerlukan ke pusat-pusat penerimaan vaksin.