KOTA MARUDU: Walaupun sudah memasuki tahun 2021 namun Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek masih ketinggalan daripada segi kemudahan bank.
Ini menjadikan DUN itu kelihatan ketinggalan berbanding DUN-DUN lain selain menyukar kehidupan penduduk di mana mereka terpaksa ke pekan Kota Marudu dan Kudat untuk urusan perbankan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding merayu agar perkhidmatanbank di pekan Tandek diwujudkan demi kemudahan penduduk.
Beliau berharap lawatan kerja Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ke Pekan Tandek hari ini dapat membawa sinar baharu kepada impian ribuan penduduk DUN Tandek selama ini.
Katanya Hajiji turut meninjau lokasi cadangan dan tapak menempatkan mesin mengeluar wang automatik (ATM) di Tandek. “Saya amat berharap agar kemudahan bank dapat diwujudkan di pekan Tandek bertujuan mengurangkan kesesakan orang ramai terutama di masa pandemik Covid-19 ini yang mana kerajaan amat menekankan penjarakan fizikal,” kata Hendrus.
Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berharap bank-bank seperti Bank Alliance dan Bank Pertanian dapat menyediakan mesin ATM mereka di Pekan Tandek untuk kemudahan rakyat.
“Saya telah menghantar surat permohonan kepada bank-bank berkenaan untuk tindakan susulan.
“Tambahan pula apa yang paling menyedihkan saya ialah apabila tibanya hari pembayaran gaji atau bantuan kerajaan, ada antara penduduk Tandek terpaksa bermalam di sekitar bank untuk menunggu giliran pada hari esoknya.
“Selain itu, ada yang terpaksa ke daerah Kudat untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.
“Dengan adanya perkhidmatan bank, sekurang-kurangnya mesin ATM ia dapat menyuntik elemen kemajuan dan menceriakan pekan Tandek yang sepi dan suram. Secara tidak langsung juga akan dapat merancakkan ekonomi pekan Tandek,” katanya.