Adakah GRS Berdepan Cabaran Besar Bahagi Kerusi PRU15?

Oleh Dr Lee Kuok Tiung

Advertisements

Pengumuman UMNO Sabah baru-baru ini berhasrat untuk tanding 14 kerusi parlimen di Sabah mengundang pelbagai reaksi dan merancakkan lagi desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin menghampiri. 

gambar hiasan

Disember tahun lepas (2020) lagi UMNO sudah mengumumkan Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak sebagai Pengarah PRU15 Sabah. 

Apakah ini semua sekadar kesiapsiagaan awal daripada UMNO Sabah untuk menghadapi PRU15.

Mengambilkira di Sabah hanya ada 25 kerusi, tidakkah 14 kerusi itu bersifat tamak? 

Angka 14 yang mencolok mata itu sebenarnya berlandaskan kepada jumlah kerusi yang diberikan kepada UMNO pada PRU14 iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Begitupun, sebagai rakan kongsi sama rata dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidakkah itu keterlaluan? 

Apabila berlaku pergolakan dalam kerajaan PN Perak sehingga memaksa Menteri Besarnya, Ahmad Faizal ditukar pada Disember 2020, bulan lalu (9 Januari 2021) telah menyaksikan parti-parti yang membentuk GRS segera mengadakan sidang media khas duduk bersama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan lagi kerjasama di samping memberikan isyarat sebarang perbezaan di antara UMNO dengan PPBM di KL tidak akan mengganggu-gugat persefahaman serta kolaborasi sesama parti-parti komponen GRS di Sabah. 

Mengambilkira agenda autonomi yang dilaung-laungkan sebelum ini sudah pasti UMNO Sabah tidak mahu campur tangan daripada seberang sana biarpun pasti akan ada individu-individu tertentu yang melobi jadi calon atau kerusi berusaha mendesak kepimpinan tertinggi UMNO pusat  untuk memberi tekanan kepada UMNO Sabah. 

Sudah menjadi norma, soal pengagihan kerusi dan calon bertanding paling hangat diperkatakan setiap kali menjelang pilihan raya.  

Masing-masing akan cuba meminta kerusi lebih pok silap ada rezeki yang tidak disangka datang tetapi selalunya diputuskan secara muafakat juga antara parti-parti yang bekerjasama dalam sesebuah perikatan politik.

Kerusi yang dalam kluster putih sudah pastinya menjadi rebutan banding kerusi kelabu apatah lagi hitam. 

Perlu ada strateginya juga bab lobi-melobi ini dan di situlah berlaku kawan jadi musuh disebabkan konflik kepentingan yang adakalanya menjurus kepada tikam belakang mahupun musuh jadi kawan tidur sebantal meskipun hakikatnya hanyalah berpaut pada dahan yang rapuh.

Yang pasrah tidak dapat apa yang diingini akan mengintai peluang di parti lawan asalkan boleh jadi calon. Kalau tiada pun tidak apa kerana boleh jadi calon bebas. Itu yang menyaksikan ada 447 calon bertanding merebut 73 kerusi DUN pada PRN Sabah September 2020. 

Ikhtibar daripada keputusan PRN Sabah 2020 adalah jadi calon bebas ada lagi kebarangkalian menang berdasarkan tiga daripada 56 calon bebas menang berbanding calon parti yang bertanding atas tiket logo sendiri tanpa menjalin sebarang kerjasama dengan mana-mana perikatan politik. 

Parti Cinta Sabah (PCS) yang digembar-gemburkan akan memberikan impak gagal memenangi sebarang kerusi bersama-sama senasib dengan LDP (Parti Liberal Demokratik), PGRS (Parti gagasan Rakyat Sabah), USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu), PHRS (Parti Harapan Rakyat Sabah). 

Perlawanan persahabatan sesama parti komponen GRS di 17 kerusi menyaksikan 11 daripadanya berjaya dimenangi mereka. Apakah keputusannya lebih baik jikalau tiada pertindihan? 

Tujuh daripada 11 kerusi yang dimenangi Bersatu merupakan penyandang 17 kerusi yang dimenangi UMNO pada 2018. UMNO memperolehi 14 kerusi tetapi sokongan PBS terhadap PN di samping kemenangan enam kerusi oleh Star yang merupakan komponen PN menyaksikan jawatan Ketua Menteri Sabah pergi kepada PPBM. 

Berdasarkan 25 kerusi parlimen yang ada di Sabah jelas ada beberapa kerusi itu bakal pergi kepada siapa seperti Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar Radin), Kota Marudu (PBS), dan Pensiangan (Arthur Joseph Kurup).  

UMNO perlu mengambilkira kerusi-kerusi seperti Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, dan Libaran yang dimenangi mereka pada PRU14, ahli parlimennya sudah berhijrah ke PPBM. 

Kerusi parlimen Kimanis pula unik sedikit apabila Datuk Mo (Datuk Mohamad Alamin) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang terpaksa diadakan pada Januari 2020 apabila mahkamah membatalkan kemenangan Dato’ Sri Anifah Aman pada PRU14. 

Sudah pastinya akan ada kerumitan sedikit dalam rundingan kerusi ini kerana penyandangnya ialah UMNO-BN sedangkan kedua-dua DUN (Bongawan dan Membakut) bawah Kimanis disandang ADUN PPBM. Apa-apapun perlu ambilkira BN-UMNO pada Januari 2020 menewaskan calon Warisan yang pada ketika itu dibantu PPBM.  

Soal pengagihan kerusi PRU15 pun juga ada ura-ura terdapat perjanjian secara verbal kerusi Kota Belud akan diberikan kepada PPBM. 

Apakah parti-parti GRS ini akan syiok-syiok sendiri dalam soal pengagihan kerusi ini semuanya bukan faktor penentu kemenangan. Perlukah mereka ukur baju di badan sendiri dan sudahkah mereka membuat perkiraan kekuatan lawan khususnya Warisan plus. 

Jumlah keahlian tidak mencerminkan kekuatan sesebuah parti kerana tidak mustahil ada dalam kalangan ahli-ahli ini sudah pindah parti atau menjadi keahlian kepada lebih daripada dua parti. 

Sekiranya PRU15 diadakan selepas Julai 2021, adakah parti-parti bertanding mampu meraih pengundi 18 tahun? 

UMNO dengan PPBM nampak tiada masalah besar dari segi pengagihan kerusi sesama mereka tetapi tanpa disedari mereka sebenarnya mendominasi majoriti daripada 73 kerusi pada PRN Sabah 2020. Bagaimana kedua-dua parti ini hendak bersikap adil dengan parti-parti rakan kongsi sama rata dalam GRS agar tidak dilihat sebagai cubaan untuk monopoli ataupun buli?

1001 lagi pertimbangan lain yang perlu diambilkira kerana jikalau tidak, khuatir menjadi pai ulung saja nanti. 

Meneliti lanjut cerita 14 kerusi membongkar cerita UMNO masih sedang menjalankan kajian untuk membuat keputusan yang paling tepat. Malahan beberapa pemimpin-pemimpin UMNO telah menegaskan akan meletakkan toleransi dan kerjasama GRS sebagai prioriti dalam rundingan baik soal pengagihan kerusi mahupun apa-apa berkenaan dengan tadbir urus kerajaan.

Begitu juga dengan seruan-seruan fokus kepada berkhidmat untk rakyat daripada sibuk berpolitik. 

Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung
Ketua Program Komunikasi,
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Sabah

Related Articles

253FansLike

Latest Articles