Sabah Sasar 3 Juta Penduduk Terima Vaksin Covid-19 Menjelang Feb 2022

325
Vaksin Covid-19, pfizer, gambar hiasan
Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan kira-kira tiga juta penduduk di negeri ini akan menerima vaksinasi menjelang Februari 2022.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Program Vaksinasi Covid-19 dijangka bermula 26 Februari ini dalam tiga fasa. 

“Fasa pertama akan melibatkan petugas-petugas barisan hadapan, fasa kedua melibatkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik.

“Manakala fasa ketiga pula akan meliputi warganegara lain yang berumur 18 tahun ke atas,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, fasa pertama dijangka bermula 26 Februari ini sehingga April 2021. Fasa kedua dan ketiga pula dijangka bermula dari April 2021 dan berterusan sehingga Februari 2022. 

Beliau berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah menyenaraikan lima kaedah yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Antaranya menggunakan aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID19-JKJAV, talian hotline yang akan ditetapkan kemudian, pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas. 

“Pihak Majlis Keselamatan Negara mempunyai peranan yang besar untuk mendapatkan senarai pendaftaran penerima vaksin dalam fasa kedua dan ketiga melalui bantuan Ketua Kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah yang mungkin takut untuk tampil mendapatkan vaksin, Masidi berkata, kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat asing termasuk PTI yang tidak mempunyai dokumen sah.

“Beliau berkata ini selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’.