Zahid Bimbang Dakwaan 12,705 Mahasiswa Cari ‘sugar daddy’

KOTA KINABALU: Presiden Umno Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan dengan laporan media yang mendakwa seramai 12,705 mahasiswa menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari ‘sugar daddy’.

Advertisements

Katanya ini meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan ‘sugar daddy’.

Menurutnya ia melibatkan penuntut IPTA dan IPTS di sekitar Lembah Klang, dan fenomena ini bagi saya sangat membimbangkan. 

“Ia bukan saja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam.

“Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Zahid berkata laporan media itu menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari ‘sugar daddy’ berlaku selepas PKP 1.0, PKPB, PKPP dan PKP 2.O.

“Mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara tersebut dan “saya sendiri akan berkomunikasi dengan Datuk Dr Noraini Ahmad”.

Zahid juga berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam. 

“Jika benar disebabkan desakan wang, JAKIM, Jabatan Agama Islam negeri, pusat zakat dan baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan. 

“Bantu mahasiswa dan jangan biarkan mereka hanyut,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles