JBPM Berjaya Selamatkan Harta Benda Bernilai RM1.4 Bilion di Sabah Tahun Lepas

547
Kamarulzaman Malik melancarkan program kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2021 di sekatan Jalan Raya (SJR) Telipok, hari ini.
Kamarulzaman Malik melancarkan program kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2021 di sekatan Jalan Raya (SJR) Telipok, hari ini.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berjaya menyelamatkan nilai harta benda keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion berbanding jumlah kerugian sebanyak RM947 juta dalam kes kebakaran di Sabah sepanjang tahun lepas.

Pengarah JBPM Negeri Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata Sabah merekodkan sebanyak 8,947 panggilan kecemasan sepanjang tahun lepas berbanding 8,873 panggilan kecemasan pada 2019.

Beliau berkata , jumlah itu melibatkan 2,925 kes kebakaran manakala 4,453 kes melibatkan tugasan penyelamatan.

Beliau berkata panggilan yang membabitkan tugas-tugas khas meningkat dari 10 kes pada tahun 2019 ke 1,558 kes tahun lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan tahun baru cina 2021 di Sekatan Jalan Raya (SJR) Telipok.

Dalam pada itu, Kamarulzaman Malik memberitahu angka kematian akibat kebakaran sepanjang tahun lepas ialah 17 manakala jumlah kematian daripada operasi menyelamat pada tahun yang sama ialah 95.

Katanya JBPM turut menerima 11 panggilan palsu sepanjang tahun lepas.