Oleh Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan membina sebuah rumah di Kampung Saab, Pitas melalui misi bantuan Teratak Prihatin bagi menggantikan sebuah rumah penduduk yang ketika ini dalam keadaan usang.
Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, berkata kos pembinaan rumah baharu itu dianggarkan RM20,000 dan YADIM sudah menyediakan kos permulaan sebanyak RM5,000.
Menurut beliau, pihaknya memohon sumbangan ikhlas orang ramai bagi membantu membiayai kos pembinaan selebihnya sebanyak RM15,000.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akuan Maybank YADIM 560018113966 dan tarikh tutupnya pada 15 Februari ini, katanya dalam postingnya di akaun facebook beliau.
Samin memberitahu, tapak pembinaan rumah penduduk berkenaan sudah disediakan dan Tentera Darat akan memberi kerjasama untuk memulakan kerja-kerja pembinaan itu dalam minggu ini.
Beliau berharap orang ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi menjayakan rayuan sumbangan pembangunan rumah asnaf itu.
“Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat YADIM Negeri Sabah di talian 088-312407,” ujarnya.
Difahamkan, sebanyak dua rumah penduduk di bawah misi bantuan Teratak Prihatin sudah siap pembinaannya di Klias, Beaufort.