Topik MA63 sering kali kedengaran di sana sini biarpun hanya secara bermusim namun jikalau ada forum atau dialog berkaitannya sering kali dewan itu penuh sambil terheret ke masa tambahan.
Bagaimana kita nak mengharapkan melihat hasilnya jikalau usaha itu tidak konsisten? Di manakah salah dan silapnya cerita MA63 ini timbul tenggelam? Nak katakan disebabkan oleh kurang mendapat liputan media arus perdana sehingga menyebabkan adakalanya dilihat pihak yang terbabit hangat-hangat tahi ayam sahaja tapi hakikatnya media baharu yang dikuasai komuniti alam maya (nitizens) yang lebih berkuasa, popular dan trending dalam zaman baharu ni.
Sebagai penyelidik ‘kecil-kecilan’ dalam bidang sains sosial yang sentiasa cuba mengikuti perkembangan isu-isu prioriti Sabah dalam ruang yang terbatas ini saya tidak berhasrat untuk mengupas semua peristiwa-peristiwa bersangkut dengan topik MA63 secara terperincil tetapi setakat berkongsi rumusan analisis beberapa isu yang seringkali dibingkai bersama dengan MA63.
MA63 ini bukanlah suatu topik yang baharu sekiranya kita menelusuri sejarah Malaysia kerana banyak bukti-bukti yang jelas menunjukkan topik ini sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia Timur.
Terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor yang mendorong topik ini semakin hangat diperkatakan iaitu, i) tiada lagi pemimpin seperti dari PBS (Parti Bersatu Sabah) yang ditangkap dan dipenjara di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) semata-mata kerana membawa isu MA63; ii) peningkatan tahap literasi dalam kalangan rakyat Malaysia; dan iii) peranan internet dan media baharu khususnya media sosial yang menyebabkan tiada maklumat yang boleh dirahsiakan lagi serta boleh tular (viral) dalm sekelip mata.
MA63 sering kali dijadikan sebagai asas kepada tuntutan hak mahupun bahagian yang lebih adil kepada Sabah dan Sarawak sebagai rakan samarata (equal partners) dalam Persekutuan Malaysia.
Royalti minyak 5% dan interpretasi pengagihan belanjawaan dalam Bajet tahunan khas untuk Sabah Sarawak secara simplistik seringkali digunapakai sebagai provokasi untuk menimbulkan perasaan tidak puas hati.
Apakah itu MA63? Persoalan yang wajar dikupas kerana adakalanya jelas ada yang menyebutnya pun tidak faham apa yang diperkatakan atau cuba dijelaskannya.
Tidak kurang juga ada dalam kalangan pemimpin pendapat khususnya ahli-ahli politik jelas lebih cenderung mengambil kesempatan untuk kepentingan diri menggunakan ruang lopong yang wujud.
MA63 singkatan kepada Malaysia Agreement atau dalam Bahasa Melayu, Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 di antara British, Persekutuan Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura merupakan suatu perjanjian antarabangsa (international treaty) yang menjadi ‘punca kuasa’ kepada pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sudah pastinya suatu yang teramat penting.
Apa yang menarik di sini adalah apakah benar Sabah dan Sarawak telah diturunkan status daripada sebuah negara kepada negeri bila Perkara 1(2), Perlembagaan Persekutuan Malaysia dipinda pada tahun 1976?
Atau ada perkara-perkara penting yang telah hilang dalam terjelmahan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang asalnya dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Sebilangan individu pula mempersoalkan sama ada Perjanjian Malaysia 1963 ini masih sah atau tidak apabila Singapura berpisah (separated) daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965?
Benar sepertimana menurut pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi tiada klausa dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang merupakan perundangan tertinggi di Malaysia menghalang Sabah atau Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia tetapi Perkara ke-7 dalam Perjanjian 20 Perkara Sabah secara khusus menyentuh tentang hak untuk memisah atau menarik diri daripada Persekutuan Malaysia.
Begitupun, ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan mengapa 20 Perkara ini hanya dirujuk bila perlu dan bersifat selective lagi bila dirujuk. Bilakah Perkara ke-8, Borneonisasi (borneonisation) yang merupakan topik hangat bersama soal penurunan kuasa (devolution of power) dalam perbincangan MA63 ditunaikan sepenuhnya?
Timbul juga persoalan dari segi kuasa perundangan perjanjian 20 Perkara tersebut kerana berbeza dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang merupakan undang-undang tertinggi di Persekutuan Malaysia manakala MA63 yang ditandatangani di antara British, Persekutuan Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura merupakan suatu perjanjian antarabangsa (international treaty).
Andai kata tujuan utama Pembentukan Persekutuan Malaysia ini adalah untuk membantu membasmi kemiskinan dan kemunduran serta keselamatan di Sabah Sarawak, adakah patut kerajaan persekutuan memberikan lebih perhatian kepada status Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia di samping kawalan keselamatan sempadan Sabah yang sering kali menimbulkan tanda tanya menyebabkan kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.
PATI tidak masuk menerusi pintu imigresen tapi lolos menerusi laluan-laluan tikus kesan daripada kawalan sempadan yang kurang efisien. Isu yang didakwa paling kritikal berlaku pada tahun 1990-an sehinggakan menyebabkan perubahan drastik demografi penduduk di Sabah. Barangkali yang sudah dapat kewarganegaraan terpaksa direstui sahaja tetapi yang baharu masuk hinggakan menimbulkan pelbagai masalah-masalah sosial baharu seperti kanak-kanak jalanan, setinggan, pencemaran, sehinggalah masalah dunia Orang Tanpa Kewarganegaraan (OTK) lambat-lanun perlukan Tindakan tegas juga.
Isu Sabah Sarawak pengeluar minyak dan gas terbesar di Malaysia telah diabaikan dan dimanipulasi untuk kepentingan Semenanjung Malaysia sering kali diungkitkan untuk meraih undi menjelang waktu pilihan raya.
Apakah Sabah dan Sarawak ini 1 daripada 3 atau 1 daripada 13 dalam pembentukan Persekutuan Malaysia ini? Wajar Putrajaya mempertimbangkan bahagian yang lebih adil kepada Sabah dan Sarawak kerana takkan rakan samarata dapat 5% royalti minyak sahaja? Sudah pastinya lebih banyak yang boleh dilakukan sekiranya ada lebih banyak peruntukkan dapat diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Di sini boleh nampak isu tuntutan 20% royalti minyak seringkali dimainkan untuk menanam kebencian terhadap kerajaan memerintah.
Pertikaian bayaran pemberian khas 40% kepada Sabah sebagaimana termaktub dalam Perkara 112C(1)(b) dan 112D serta Jadual 10 (bahagian V), Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan isu hangat baharu yang dimulakan oleh sebuah NGO bernama MySabah mengambilkira undang-undang tertinggi di Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan dan usahakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu. Banyak lagi isu-isu lain yang dibingkai bersama dengan agenda MA63.
Rakan-rakan Semenanjung yang teropong dari jauh ke Sabah Sarawak mahupun sekali sekala merentasi Laut China Selatan singgah seketika tidak mungkin memahami atau berkongsi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.
Jadi, siapakah juara MA63 ini? Bagi saya sebenarnya tidak timbul siapa lebih siapa kurang tetapi mana-mana pihak yang secara konsisten secara berterusan cuba menyelidiki dan memahami topik MA63 yang perlu diberikan kredit.
Jangan jadikan MA63 untuk dapatkan political mileage atau menjatuhkan (pemimpin) lawan politik sahaja tetapi usaha secara konsisten untuk kesejahteraan dan faedah rakyat.