SAFA jalin kerjasama dengan MSN, Jabatan Pendidikan jayakan program pembangunan bolasepak

KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mengorak langkah untuk memperkasakan program pembangunan bolasepak di negeri ini dengan menjalinkan kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Advertisements

Sebagai usaha permulaan, badan bolasepak itu mengadakan perbincangan awal mengenai kerjasama itu dengan MSN dan Jabatan Pendidikan dalam satu mesyuarat melalui persidangan video, pagi ini.

SAFA diwakili Penolong Setiausaha Agungnya, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim manakala MSN diwakili Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Mohd Safrushahar Yusoff, Ketua Cawangan Khas MSN, Shukri Harun dan Pengurus Besar Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Mohd Yusuf Ibrahim.

Jabatan Pendidikan Sabah diwakili Pengarah Unit Sukannya, Muhimuan Moksin dan wakil dari MSN Sabah.

Azman ketika ditemui di sini berkata, kerjasama itu akan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman antara SAFA dan MSN untuk membolehkan perancangan program pembangunan bolasepak di Sabah dapat direaslisasikan sepenuhnya.

“Kita menjangka MoU itu akan dapat dimeterai dalam sedikit masa lagi di mana SAFA akan diwakili oleh Pemangku Presidennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan MSN,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata di bawah kepimpinan baharu SAFA akan terus melakukan perancangan terbaik sejajar dengan hala tuju pemangku presiden SAFA yang inginkan perubahan dilakukan demi kemajuan sukan bolasepak.

Menurut beliau, pihaknya sangat berpuas hati dan mengucapkan penghargaan serta terima kasih kepada MSN kerana memberi kerjasama baik menjayakan perbincangan awal tersebut.

“Ia satu petanda positif dari MSN dan Jabatan Pendidikan untuk memperkukuhkan lagi jalan kerjasama seumpama ini,” ujarnya.

Penolong Setiausaha Agung SAFA itu menambah, kerjasama itu meliputi usaha untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan peringkat remaja dan kaka-kanak di samping mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam sukan bolasepak.

Katanya, bagi SAFA sendiri, kerjasama erat antara MSN dan Jabatan Pendidikan sangat dialu-alukan memandangkan ia sebagai persiapan untuk mewujudkan Akademi Bolasepak SAFA, satu keperluan yang harus diberi penekanan.

“Melalui pertandingan yang dirancang bersama SAFA dan MSN nanti, kita boleh mengenal pasti pemain-pemain elit menerusi kategori umur 17 dan 15 tahun ke bawah untuk diserapkan dalam akademi tersebut.”

“Kita juga mencadangkan supaya akademi itu menggunakan nama Datuk Seri Bung Moktar Radin,” tegas Azman.

Beliau berkata, SAFA kini mengambil pendekatan untuk terus menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan dalam program pembangunan bolasepak di negara ini terutama dengan MSN, MSN Sabah, JabatanPendidikan dan Sekolah Sukan Negeri.

“Kita yakin dengan gabungan kerjasama dan persefahaman dengan pihak terbabit akan dapat memastikan program pembangunan bolasepak di negeri boleh mencapai kejayaan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles