Oleh Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU : Bekas Ketua UMNO bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris dilantik sebagai penolong setiausaha UMNO Sabah.
Majlis penyerahan watikah pelantikan disempurnakan oleh Ketua UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat Kementerian Kerja Raya Sabah pada Jumaat.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin,Ketua Penerangan Datuk Raime Unggi dan Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Awang Aslee Lakat.
Jumat yang juga bekas Ahli Parlimen Sepanggar dilantik ke jawatan tersebut bagi mengisi kekosongan jawatan itu ekoran pelantikan penyandang Awang Aslee Lakat sebagai setiausaha eksekutif UMNO Sabah.
Awang Aslee mengambil alih tugas itu berikutan peletakan jawatan penyandang terdahulu Datuk Kadzim M.Yahya yang dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada Oktober 2020.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri ketika ditemui selepas penyerahan watikah pelantikan itu berkata Jumat merupakan calon yang sesuai menggalas tugas tersebut bagi membantu melicinkan tugas-tugas Jafry sebagai Setiausaha UMNO Sabah yang berhadapan dengan kesibukan tugas sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri.
“Saya yakin beliau (Jumat) mampu menggalas tugas ini berdasarkan kepada pengalaman beliau yang telah lama berjuang bersama parti sejak awal penubuhan UMNO di Sabah,” jelas Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.
Sementara itu, Jumat yang juga bekas calon BN/UMNO DUN Darau pada PRN lepas turut menghargai dan berterima kasih atas kepercayaan Bung serta kepimpinan UMNO Sabah yang memberikan peluang kepada beliau untuk menjawat jawatan tersebut.
“Ini merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan bagi membantu melicinkan urus takbir UMNO Sabah,berbekalkan sedikit pengalaman yang ada dengan bantuan rakan-rakan dalam kepimpinan UMNO Sabah insyallah tanggung jawap ini akan dilaksanakan sebaik mungkin,” jelas Jumat