Tentera Darat Malaysia (TDM) menugaskan seramai 130 anggota dalam Operasi Murni bagi membantu mangsa-mangsa banjir di 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah terutama mempermudahkan urusan pengangkutan memindah dan mrnghantar balik mereka ke rumah mereka masing-masing.
Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Halim Khalid berkata susulan banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini , TDM telah menubuhkan 10 Pasukan Aturgerak Cepat (Response Team) yang digerakkan bersama pihak berkuasa lain untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir ke PPS.
Beliau berkata berikutan keadaan cuaca bertambah baik dan banjir yang semakin surut, anggota TDM bersama pihak berkuasa lain juga akan membantu mengangkut mangsa-mangsa banjir balik ke rumah masing-masing.
Mohd Halim berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di SJR Taman Puterajaya, Telipok, Kota Kinabalu hari ini.
Mengenai Operasi Penawar, beliau berkata TAD menugaskan secara keseluruhan lebih 300 anggota di seluruh negeri.
Katanya status tugasan anggota TDM dalam operasi itu ialah membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjayakan operasi SJR dan rondaan pematuhan PKP.
Beliau berkata terdapat 25 SJR, 12 Rondaan Pematuhan PKP dan dua Pusat Statik PKP.
Mohd Halim berkata penugasan itu bertujuan membantu usaha mengekang atau memutuskan rantaian pandemik Covid-19.