Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor melawat Pusat Pemindahan Sementara mangsa-mangsa banjir di Dewan Masyarakat Tun Said Kota Belud, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari.
Hajiji turut menghadiri sesi taklimat mengenai situasi terkini banjir di daerah Kota Belud yang masing-masong disampaikan oleh Pegawai Pertahanan Daerah Kota Belud LT (PA) Jimmy Alberto Bin Tining dan Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah.
Menurut laporan Bernama hari ini, Sabah masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa bertambah kepada 673 orang, melibatkan 194 keluarga, berbanding 407 orang daripada 106 keluarga malam tadi, dengan kesemua mereka ditempatkan di 15 PPS di negeri itu.
Sembilan daerah dilanda banjir dengan Kota Belud mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 210 orang, Tuaran (112); Kota Kinabalu (101); Paitan (73); Beaufort (78); Penampang (76); dan Putatan (23) manakala Kuala Penyu dan Sipitang tiada mangsa dipindahkan.