KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu hampir dua kali ganda hari ini iaitu 909 kes, meningkat sebanyak 433 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata kali terakhir Sabah mencatatkan kes di atas paras 900 kes ialah pada 30 Sept tahun lepas.
“Terdapat tiga daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini. Daerah Sandakan mencatatkan angka tertinggi dengan 185 kes (+92), diikuti oleh Penampang dengan 115 kes (+44) dan Kota Kinabalu 101 kes (+24).
“Jangkitan yang berpunca daripada kes bergejala di ketiga-tiga daerah ini juga tinggi iaitu Sandakan 37.84% (70 kes), Penampang 33.04% (38 kes) dan Kota Kinabalu 55.45% (56 kes),” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata 16 daerah mencatatkan dua angka iaitu Tuaran 86 kes (+42), Lahad Datu 57 kes (+40), Beaufort 57 kes (+39), Kota Marudu 53 kes (+37) dan Papar 36 kes (+27).
“Hanya empat daerah mencatatkan kes satu angka dan empat daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes baru.
“Hampir seluruh daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dengan 10 daripadanya mencatatkan peningkatan pada kadar dua angka,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 89 kes datang daripada sembilan Kluster aktif termasuk empat Kluster baharu.
“Kesemua kluster baharu hari ini adalah kategori kluster institusi pendidikan,” katanya,