KOTA KINABALU: Badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan permasalahan rakyat kepada pihak kerajaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pertubuhan NGO juga memainkan peranan besar dalam pelbagai sektor, selain menyalurkan maklumat penting kepada kerajaan.
“Anda (NGO) juga boleh membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah serta menangani pelbagai keperluan sosial ke arah kesejahteraan rakyat,” katanya.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah (PRBSS), di pejabat beliau, sini, hari ini.
Menurutnya, sebuah NGO merupakan pertubuhan ‘tanpa warna’, di mana soal politik diketepikan bagi memastikan kebajikan ahli-ahlinya terjaga.
“PRBSS juga boleh menjadi rakan kongsi dalam menyalurkan pelbagai maklumat kerajaan kepada rakyat di negeri ini, selain mengadukan permasalahan rakyat di sekitarnya,” ujar beliau.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PRBSS, Haji Masri Haji Mansur, Bendahari, Johan Wahit, Setiausaha, Awang Ali, dan Ketua Penerangan, Mohd Syum Bin Abdul Majid Naib.
Sementara itu, Pengerusi PRBSS, Dato’ Haji Samsudin Awang Aman, berkata, pertubuhan tersebut ingin melihat ahlinya merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi menjana ekonomi menerusi pelbagai program serta kemudahan yang ada.
“Kami berharap KPLB Sabah juga dapat membantu NGO termasuklah PRBSS terutamanya soal pembangunan negara dalam semua bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan,” katanya.
Antara lain tujuan kunjungan tersebut adalah bagi memperkenalkan barisan kepimpinan PRBSS kepada Jahid, selain untuk menjalinkan silaturrahim.