KOTA MARUDU: Semua pihak harus memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti selain siasatan dalaman oleh SPRM sendiri, dan ia sekali gus menolak dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan berdiam diri.
“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.
“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh ‘jump into conclusion’ seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Ismail Sabri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam yang mendesak Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat segera oleh satu badan bebas berhubung dakwaan itu, selain menyarankan dua individu berkenaan ‘direhatkan’ sementara siasatan berjalan.
Perdana Menteri berkata beliau memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dengan salah laku, namun menyeru semua pihak supaya sentiasa konsisten dan berlaku adil terhadap sesiapa sahaja.
“Kita mesti yakin dan percaya dengan sistem yang kita ada, biar SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti siasat dahulu… dahulu ada Ketua Menteri Pulau Pinang disiasat, tiada pula saranan direhatkan, kita kena konsisten jangan pula ada dwi-standard,” katanya.
Beliau berkata sebagai sebuah badan bebas, tiada campur tangan dalam SPRM termasuk daripada Perdana Menteri sendiri dan menurutnya badan itu akan dipastikan kekal bebas.
— BERNAMA
Kes Azam Baki: Beri ruang siasatan sepenuhnya – Ismail Sabri
Advertisements