KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Semporna kini dalam fasa pembinaan dan dijangka siap menjelang Ogos tahun depan (2022).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek itu melibatkan empat kawasan pengambilan tanah dan sembilan pemilik tanah bergeran.
Beliau berkata kawasan tanah yang terlibat itu terletak di Sungai Intan, Jalan Kuala Pokas, Kuala Bibang, Bukit Sakkong dan Jalan Pantai Kampung Selamat – Kompung Mentelitip.
Bung yang Menteri Kerja Raya Negeri berkata kesemua tanah tersebut telah diwartakan di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah, Bab 69 pada Januari tahun ini.
Susulan itu, beliau berkata Penolong Pemungut Hasil Tanah Semporma telah mengeluarkan surat kebenaran masuk tapak pada September 2021.
Katanya berikutan bantahan daripada pemilik-pemilik tanah, perkara itu telah disusuli dengan mesyuarat penerangan dan seterusnya mendapat persetujuan bersama dengan pemilik-pemilik tanah pada 22 Sept tahun ini.
Bung berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Senallang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri Sabah di sini hari ini.
Shafie ingin tahu bagaimana projek pembukaan tanah bagi Projek Air Luar Bandar di kawasan Semporna dilaksanakan sebelum mendapat persetujuan pemilik-pemilik tanah terbabit dalam projek itu.
Shafie turut membangkit masalah yang dihadapi syarikat berkaitan kerajaan negeri, Sabah Forest Industries (SFI) namun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mencelah akan menjawab soalan itu semasa sesi penggulungan.