KOTA KINABALU: Pelan pemulihan dan pemuliharaan hutan oleh Jabatan Perhutanan perlu disokong oleh semua pihak, terutama pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) atau Unit Pengurusan Hutan (FMU), pemain industri hiliran dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pujian perlu diberikan kepada konsesi SFMLA atau FMU yang telah mengekalkan pensijilan pematuhan mereka dalam pengurusan hutan serta semua rakan pemuliharaan atas sumbangan mereka dalam agensi konservasi negeri ini.
“Saya percaya Jabatan Perhutanan Sabah dengan jalinan kerjasama dan penglibatan semua pihak yang berkaitan mampu untuk terus mencapai kecemerlangan dalam agenda konservasi hutan dan pemulihan ke arah pengurusan lestari hutan kita untuk anak cucu,” katanya.
Berucap sempena Majlis Apresiasi Perhutanan 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini semalam (Selasa), Hajiji meminta Jabatan Perhutanan Negeri memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan eko-pelancongan yang dikenalpasti sebagai tonggak ekonomi utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
” Seperti yang disebut oleh Ketua Konservator Hutan (Datuk Frederick Kugan) sebelum ini, eko-pelancongan dan perhutanan adalah saling berkaitan.
“Hutan kita adalah habitat kepada kepelbagaian bio, yang mana kita boleh menemui antara lain pokok Dipterocarp tertinggi di dunia dan orang utan, gajah, beruang serta Tembadau. Semua ini adalah tarikan utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah.
“Tetapi, saya percaya sebagai sektor eko-pelancongan bertaraf antarabangsa, masih banyak yang perlu diterokai dan diperbaiki, terutama selepas pandemik ini,” katanya. lebih-lebih lagi selepas wabak itu,” katanya.
Dari perspektif jaringan kelestarian hijau, Ketua Menteri berharap hutan di Sabah akan terus berfungsi sebagai yang terbaik untuk inisiatif Heart of Borneo (HoB).
“Ia juga sejajar dengan aspirasi SMJ bahawa pemuliharaan dan mengekalkan hutan serta biodiversitinya diberi penekanan bukan sahaja untuk kepentingan Sabah serta negara malah juga untuk dunia,” katanya.
Untuk usaha itu, Hajiji memuji Jabatan Perhutanan atas inisiatif dalam membuat langkah awal ke arah mencapai kelestarian hijau, yang disifatkannya sebagai langkah bijak.
Dengan memastikan 30 peratus atau 2.2 juta hektar hutan Sabah menjadi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) menjelang tahun 2025, beliau berkata ia akan melengkapkan usaha mewujudkan koridor dan menyelesaikan isu ketersambungan (connectivity issue) hutan simpan di seluruh negeri.
Hajiji juga mengambil maklum dengan ucapan Kugan mengenai inisiatif Jabatan Perhutanan dalam usahanya untuk membentuk semula sektor perhutanan bagi membawa manfaat sosial dan ekonomi berimpak tinggi kepada masyarakat, termasuk melihat ke dalam menjana pendapatan melalui produk bukan kayu seperti karbon kredit, pembangunan tenaga hijau hidro, pengkomersilan hasil penyelidikan, pengkajian semula Lesen SFMLA atau FMU yang tidak berdaya maju, penstrukturan semula sektor perindustrian kayu kayan yang lebih inklusif serta pelan tindakan tranformasi ladang hutan.
“Sebagai penghuni/pemilik tanah ini, kita lebih tahu apa yang terbaik untuk mengurus hutan kita. Saya percaya Jabatan Perhutanan sebagai agensi yang diamanahkan dalam menguruskan sumber ini telah mengambil kira semua aspek, sejajar dengan pengurusan hutan lestari, untuk memenuhi keperluan. generasi kini dan akan datang,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri turut menekankan kepentingan ‘character building’ terutamanya dalam memerhatikan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangan.
“Sektor awam dan jabatan yang diamanahkan untuk menyimpan maklumat sulit kerajaan serta mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan mesti mempunyai integriti.
“Pelan antirasuah yang telah dirangka oleh kerajaan akan menjadi penanda aras kepada semua kementerian, jabatan dan agensi,” katanya.
Yang turut hadir ialah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan,Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian, Penasihat-Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Sam Mannan (Perhutanan) dan Datuk Darrel Webber (Perubahan Iklim) dan Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan.
Hajiji: Usaha pemulihan dan pemuliharaan hutan Sabah memerlukan sokongan menyeluruh semua pihak
Advertisements