W.P LABUAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021 – 2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu, dan Laut Sulawesi 2021 – 2030 di W.P Labuan pada Isnin.
Ronald ketika ditemui media, merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah kerana berjaya memuktamadkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021 – 2030 selaras dengan hasrat Dasar Agromakanan Negara 2.0.
Jelasnya, enam teras utama yang telah diberi perhatian khusus oleh MAFI di dalam Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021 – 2030 meliputi Teras 1: Pematuhan Instrumentasi Domestik Dan Antarabangsa Perikanan Laut Dalam Dan Tuna; Teras 2: Pembangunan Spesifikasi Vesel Dan Peralatan Serta Penetapan Kuota Tuna; Teras 3: Pembangunan Dan Peningkatan Teknologi Perikanan Tuna; Teras 4: Pembangunan Sistem Pengurusan, Kawalan, Dan Profil Industri Perikanan Tuna; Teras 5: Peningkatan Kapasiti Pengawalseliaan Perikanan Tuna; dan Teras 6: Peningkatan Kualiti Pasca Tuai Dan Nilai Tambah Perikanan Tuna.
Pelan strategik ini mensasarkan outcome yang kompetitif bagi memastikan pembangunan industri tuna negara dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif melalui pertambahan bilangan vesel laut dalam dan tuna yag beroperasi di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia dan laut lepas, peningkatan pendaratan tuna di Malaysia kepada 150,000 tan metrik. pembangunan vesel moden perikanan laut dalam dan tuna secara bersepadu, pematuhan resolusi domestik dan antarabangsa kepada sekurang-kurangnya 85%, dan peningkatan pasaran produk berasaskan tuna yang bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.
Manakala bagi Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi, objektif utama pelan ini dibangunkan adalah untuk meningkatkan pendaratan tuna dari perairan Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut
Sulawesi, memangkin pembangunan industri tuna melalui pelaburan swasta, membangunkan industri perikanan tuna secara mapan dan memenuhi piawaian antarabangsa, membangunkan modal insan dalam perikanan tangkapan dan pemprosesan tuna dan memantapkan sistem pengembangan dan pembangunan teknologi.
Dr. Ronald turut menekankan, walaupun Sabah dan Labuan terletak di sebelah Malaysia Barat, hasil tangkapan tuna di Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diberikan perhatian, diurus dan dieksploitasi dengan baik bagi meningkatkan pendaratan tuna dan hasil ekonomi nelayan tempatan.
Pada bulan Oktober lepas, MAFI juga telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bertujuan antara lainnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selain mengutamakan sekuriti serta nutrisi makanan negara. DAN 2.0 juga mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Selain DAN 2.0, galakan penerokaan perikanan laut dalam menerusi pemodenan vesel merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh MAFI melalui DOF di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2030 (Pelan DSMN) untuk memastikan jaminan bekalan makanan sumber protein yang berterusan.
Bagi tujuan ini, Kerajaan telah memperuntukkan Dana Pembiayaan untuk Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan sebanyak 150 juta ringgit dengan agihan 100 juta ringgit untuk Zon A dan Zon B, manakala 50 juta ringgit untuk perluasan skop Zon C dan C2. Sehingga kini, terdapat 265 permohonan dengan nilai pembiayaan 108 juta ringgit telah diperakui di peringkat DOF. Daripada jumlah pembiayaan tersebut, 92 juta ringgit adalah untuk pembiayaan program pemodenan manakala 16 juta ringgit lagi untuk pembiayaan program mekanisasi.
Dalam ucapan pelancaran, Dr Ronald turut menyatakan komitmen Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah memperuntukkan sebanyak 14 juta ringgit kepada Jabatan Perikanan Malaysia untuk menjalankan Projek Pembangunan Perikanan Komersial Laut Dalam dan Tuna bagi meningkatkan usaha pendaratan dan penglibatan pemain industri serta nilai tambah perikanan laut dalam dan tuna.
Dengan inisiatif ini, pengurusan dan kawalan perikanan komersial dapat dipertingkatkan menerusi platform digital, peningkatan kepada pematuhan antarabangsa, peningkatan fasiliti pendaratan dan pengendalian hasil perikanan serta peningkatan produk perikanan laut dalam dan tuna.
Tegasnya lagi, kedua-dua pelan ini memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya kementerian, jabatan, agensi, pemain industri, sektor swasta dan para nelayan khususnya bagi memastikan industri tuna dalam sektor perikanan terus berkembang maju serta dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan.