Oleh: Jaafar Abd Wahid
MELAKA: Menjelang hari pengundian PRN Melaka pada Sabtu pengundi berasal dari Sabah yang menetap dan mengundi di sini, diingatkan agar tidak tersalah pilih.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata mereka perlu bijak memilih bukan sahaja untuk masa depan Melaka tapi demi untuk masa depan negara.
“Barisan Nasional telah terbukti sebagai sebuah parti yang berupaya mentadbir negara bukan sahaja dari sudut kestabilan politik tapi dapat mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat selama menjadi penaraju negara, justeru pilihan terbaik pada PRN Melaka kali ini adalah BN” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama pengundi pengundi yang berasal dari Sabah dan mengundi di sini baru baru ini.
Mengikut rekod seramai 3960 orang pengundi berasal dari Sabah mendaftar sebagai pemilih di sini dan mengundi di beberapa Pusat Daerah Mengundi.
Mereka merupakan anak jati Sabah yang menatap di sini kerana berkerja dalam pelbagai sektor samada kerajaan dan swsata selain berkeluarga dan tinggal di sini.
Menurut Bung yang juga Ketua Umno Sabah undi dari anak-anak Sabah yang berada di sini dapat menentukan kedudukan calon-calon BN yang bertanding mencapai kejayaan.
“Anak-anak Sabah yang mengundi di sini perlu membawa semangat perjuangan BN/UMNO semasa PRN Sabah baru-baru ini,” katanya.
Katanya mereka perlu memilih sebuah parti yang memiliki organisasi tersusun untuk menjamin kehidupan generasi akan datang sebagaimana yang dilakukan oleh BN 60 tahun lalu.
“Kita sudah lalui pengalaman getir selama 22 bulan kerajaan terdahulu memerintah negara tidak mungkin pada PRN kali ini kita memilih parti yang gagal mentadbir urus negara dengan baik ,” jelas Bung.
Menurut Bung bukan sahaja kegagalan mengurus negara malah dalam kes kecil bagi menentukan siapa calon Ketua Menteri dari parti mereka pun masih ada dolak dalinya sehingga meminggirkan pemimpin yang sewajarnya mereka angkat menjadi Ketua Menteri .