MAFI Cadang Tubuh Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan

KUALA LUMPUR: Kertas Pertimbangan mengenai Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan Peringkat Negeri dibentangkan menerusi Mesyuarat Bersama Exco-Exco Pertanian Negeri Bilangan 1 Tahun 2021 secara maya pada hari ini.
Dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, ianya turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I dan II, Ketua Setiausaha, Dato’ Haslina Abdul Hamid, Exco Pertanian daripada Negeri- Negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pegawai Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi MAFI.
Penubuhan Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan Peringkat Negeri yang menekankan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society akan menjadi pemangkin kepada pengurusan sumber dengan lebih cekap dan mampan selain menjadi pelengkap kepada tadbir urus Agenda Sekuriti Makanan Negara sedia ada.
Jawatankuasa ini juga akan mewujudkan kerjasama strategik khususnya mengukuhkan sinergi dengan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan daya tahan sistem makanan negara ke arah menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan kepada rakyat.
Agenda mesyuarat kali ini merangkumi lima (5) pembentangan, iaitu dua (2) Kertas Pertimbangan dan tiga (3) Kertas Makluman. Kertas pertimbangan yang dibentangkan adalah mengenai Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan Peringkat Negeri sebagai satu usaha bersepadu mewujudkan kerjasama strategik khususnya bagi memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan negara secara holistik dan tuntas.
Mesyuarat bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan Peringkat Negeri yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar/Ketua Menteri atau Exco Pertanian sendiri dengan diurusetiakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri. Keahlian Jawatankuasa dicadang turut terdiri daripada Exco-Exco Negeri yang bertanggungjawab kepada portfolio kesihatan, kesejahteraan rakyat atau kos sara hidup dan alam sekitar selain pertanian.

Advertisements

Penglibatan agensi kerajaan di peringkat negeri seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan dan lain-lain serta pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) diharap dapat memberikan input yang holistik dalam pengukuhan sekuriti makanan negeri melalui dasar, strategi, pelan tindakan dan program yang bakal dilaksanakan mengikut kesesuaian lokaliti.
Selain itu, mesyuarat turut diberikan taklimat berkaitan projek tenusu mega oleh Syarikat F&N Holdings Bhd. Pelaburan pihak swasta dalam sektor agromakanan merupakan usaha Kementerian untuk meningkatkan pengeluaran domestik khususnya bagi komoditi ternakan termasuk susu segar bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) ke paras 100% menjelang 2025. Projek ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penternak lembu tenusu dan usahawan di sepanjang rantaian nilai.
Mesyuarat turut mengambil maklum Bajet 2022 dimana secara keseluruhannya, MAFI akan menerima peruntukan sebanyak RM4.82 bilion pada tahun 2022 merangkumi RM3.28 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.54 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Sebanyak 362 projek baharu dan sambungan telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada tahun hadapan untuk menggalakkan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dalam tempoh pemulihan pasca pandemik COVID-19.
Turut dibentangkan Program National Water Balance Management System (NAWABS) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang akan menjadi rujukan utama dalam pengurusan air khasnya di kawasan pengairan tanaman padi. Inisiatif dan status pencapaian amalan pertanian mampan di Malaysia turut dibentangkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA).
Kemampanan pengurusan sumber asli dan alam sekitar merupakan antara teras utama yang ditekankan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi memacu hala tuju sektor fagromakanan yang berdaya saing termasuk kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti kemarau. Kementerian melalui pengukuhan pensijilan myGAP dan myOrganic serta perluasan kaedah kawalan perosak secara bersepadu (IPM) akan terus menggalakkan amalan pertanian mampan dalam kalangan petani.
Kementerian yakin usaha kolaboratif dengan Kerajaan Negeri akan memperkasa sektor pertanian negara melalui peningkatan produktiviti, pengukuhan sistem sokongan dan perkhidmatan, pengurusan sumber secara mampan serta penggalakkan pelaburan dan penglibatan sektor swasta untuk meningkatkan sekuriti makanan, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selari dengan DAN 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negari

Related Articles

253FansLike

Latest Articles