Jabatan Pertanian Malaysia Bangunkan App LCC

 

PUTRAJAYA: Seiring dengan perkembangan Industri 4.0, Jabatan Pertanian Malaysia telah membangunkan aplikasi Leaf Colour Chart (LCC) yang merupakan inovasi pertanian pintar oleh pegawai Jabatan Pertanian sendiri. Menurut YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Ketua Pengarah Pertanian, aplikasi ini dapat membantu petani membuat keputusan secara tepat dalam penggunaan baja nitrogen. Aplikasi LCC ini membolehkan petani mengambil gambar pokok padi menggunakan telefon pintar dan secara automatik mengeluarkan keputusan yang membolehkan keputusan dibuat dengan segera.
Berdasarkan penggunaan aplikasi yang inovatif ini, Jabatan Pertanian melalui platform ASEAN Cooperation in Agricultural Training and Extension (AWGATE) telah menganjurkan Webinar on Leaf Colour Chart (LCC) Application secara dalam talian yang melibatkan penyertaan daripada peserta daripada 10 negara ASEAN dan 250 orang pegawai pengembangan. Webinar yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan negara ASEAN dalam membantu petani meningkatkan kecekapan dalam proses pengurusan nutrient tanaman padi telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Dr. Ronald berkata, padi dan beras merupakan subsektor penting bagi menghasilkan makanan ruji rakyat Malaysia dan juga penduduk di semua negara ASEAN. Di Malaysia, industri ini telah mengalami peningkatan dalam

Advertisements

Tahap Sara Diri (SSL) daripada 60.3% pada tahun 2010 kepada 63.0% pada tahun 2019. Berdasarkan kepentingan industri padi dan beras kepada rakyat di negara ASEAN, beberapa isu penting seperti kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan mekanisasi dan automasi serta kehilangan pasca tuai yang tinggi perlu diatasi. Sehubungan itu, webinar yang diadakan pada dua hari ini memberi penekanan kepada pengurusan pintar nutrien dalam pengurusan padi dan beras dalam usaha ke arah penggunaan baja secara tepat yang dapat membantu mengurangkan kos input dan penjagaan alam sekitar yang lestari.
Tambah Dr. Ronald, pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang menerapkan elemen ekonomi, sosial dan alam sekitar oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan. Jelas Dr. Ronald, lima (5) strategi utama di bawah sub industri padi dan beras seperti yang telah digariskan dalam DAN 2.0 adalah seperti berikut:
i) Meningkatkan produktiviti melalui pengurusan penggunaan tanah dan air yang lebih baik dengan memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan penggunaan tanah dan air untuk produktiviti yang lebih tinggi.
ii) Memanfaatkan potensi varieti istimewa tempatan dengan membangunkan segmen beras istimewa tempatan untuk mengukuhkan pilihan bagi kepelbagaian varieti oleh pengeluar beras.
iii) Menggalakkan penglibatan sektor swasta yang pelbagai di sepanjang rantaian nilai sub industri padi dan beras seiring dengan perkembangan zaman.
iv) Penstrukturan semula sokongan kewangan sedia ada untuk

menyumbang ke arah memperkasakan pengeluar dalam membuat keputusan perniagaan dengan memperhalusi sokongan input dan output semasa bagi menggalakkan pengoptimumkan operasi pertanian.
v) Mempromosi, menggalakkan, mengajar dan memupuk generasi belia untuk terlibat dalam sub industri padi dan beras dengan memperkasakan peluang sedia ada melalui pendedahan kepada generasi muda.
Di samping itu, MAFI turut memperkenalkan pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar atau dikenali sebagai SMART SBB yang berperanan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara serta meningkatkan pendapatan pesawah padi melalui penglibatan pemain industri secara langsung dalam rantaian penanaman padi dan pengeluaran beras.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles