MAFI Promosi Dana Modenisasi Rantaian Nilai

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Agrobank melancarkan Majlis Mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel Dan Mekanisasi Tangkapan yang dirasmikan oleh Datuk Seri. Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur, hari ini.

Advertisements

Turut hadir sama, Dato’ Che Abdullah bin Mat Nawi, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan YBhg. Dato’ Mustapha bin Buang, Pengerusi Agrobank.

Kedua-dua program kemudahan pembiayaan di bawah Dana Jaminan Makanan ini merupakan antara langkah intervensi oleh MAFI yang bertujuan untuk mempermudahkan akses kepada pembiayaan bagi usahawan di seluruh rantaian nilai agromakanan sama ada di peringkat huluan sehingga di peringkat hiliran dengan menawarkan kadar pembiayaan yang menarik dan berisiko rendah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata melalui Dana Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan yang berjumlah RM60 juta, usahawan di sepanjang rantaian nilai agromakanan boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) berjumlah sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga 10 tahun.

Antara teknologi berteraskan 4IR yang menjadi fokus dalam sektor agromakanan adalah teknologi sensor, robotik, dron, blockchain dan lain-lain teknologi yang merupakan elemen bagi konsep pertanian pintar.

“Pada masa yang sama, MAFI juga memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi kemudahan pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan bagi Vesel Zon A, Zon B serta telah diperluaskan kepada Zon C dan Zon C2,” Dr Ronald.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM104.5 juta diperuntukkan di bawah skop Pemodenan Vesel manakala RM45.5 juta lagi diperuntukkan di bawah skop Mekanisasi Tangkapan dengan kemudahan pembiayaan pada kadar di antara 3.0 sehingga 3.5 peratus bagi tempoh maksimum 10 tahun.

Program ini bertujuan untuk membuka peluang kepada nelayan tempatan untuk menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan dan peningkatan kualiti hasil tangkapan. Secara langsung ianya akan meningkatkan pendaratan ikan serta pendapatan nelayan. Dengan adanya vesel moden yang selesa dan selamat, ini dapat menarik minat warga tempatan terutamanya golongan belia untuk menceburkan diri dalam sektor perikanan tangkapan seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

Tambah Dr. Ronald, inisiatif ini adalah seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang telah mengenal pasti pertanian pintar sebagai salah satu aktiviti strategik dan berimpak tinggi yang dapat menjana semula pertumbuhan ekonomi negara. “Sektor agromakanan merupakan sektor yang dapat mengekalkan daya tahan ketika berdepan beberapa krisis dunia. Sektor ini mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.3% pada tahun 2020. Manakala sumbangan agromakanan kepada KDNK pertanian juga meningkat daripada RM44.2 bilion pada tahun 2015 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020. Dalam tempoh RMKe-12, usaha akan ditumpukan kepada mempercepatkan penerimagunaan teknologi moden dalam sektor agromakanan khususnya tanaman, ternakan dan perikanan,” jelas Dr. Ronald.

Dalam hubungan ini, Dr. Ronald juga menegaskan bahawa MAFI menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 25 Oktober 2021 akan memberi penekanan khusus terhadap pemodenan dan pertanian pintar sebagai aspirasi utama yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Dasar ini juga telah mengambil kira strategi-strategi yang digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.

Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI menyatakan bahawa MAFI sememangnya giat menggalakkan pemodenan sektor pertanian negara melalui penggunaan teknologi moden bagi menghasilkan keluaran pertanian yang berkualiti tinggi walaupun dalam keluasan tanah yang terhad demi mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara.

“Penekanan serius diberikan oleh setiap warga kerja Keluarga MAFI, bagi memodenkan sektor pertanian melalui DAN 2.0 seperti mana yang digariskan di bawah Teras Dasar 1: Mendukung Modenisasi dan Pertanian Pintar. Program ini akan dilaksanakan melalui Bahagian Pemodenan Pertanian, MAFI yang baharu ditubuhkan pada Jun 2021 bagi menerajui inisiatif pemodenan sektor agromakanan di bawah kementerian,” katanya.

Sementara itu, Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank menyatakan bahawa Agrobank menyokong usaha dan hala tuju MAFI dalam menjamin kelestarian sektor agromakanan khususnya melalui

penggunaan teknologi berteraskan 4IR. Sejajar dengan Pelan Perniagaan Agrobank 2021-2025 (SBP 2021 – 2025), modenisasi sektor pertanian adalah antara cabang utama pelan Agrobank.
“Dalam usaha mendukung aspirasi Kerajaan menerusi garapan teknologi dan pendigitalan dalam pertanian, Agrobank merupakan salah satu agensi pelaksana dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk merapatkan jurang pendigitalan di antara usahawan di bandar dan di luar bandar. Teknologi adalah penting bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.

Oleh itu menerusi dana-dana ini, Agrobank yakin lebih ramai usahawan agromakanan yang akan mendapat manfaat menerusi program ini, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi usahawan dan komuniti setempat,” jelas beliau.

Dalam ucapannya, Dr. Ronald juga menekankan bahawa MAFI akan terus komited dalam mendukung aspirasi pemodenan sektor agromakanan dan pertanian pintar bagi peningkatan produktiviti dan menjamin ketersediaan yang berterusan bagi bekalan makanan negara.

Adalah menjadi hasrat MAFI untuk menarik lebih ramai penyertaan usahawan dalam sektor agromakanan bagi merebut ruang dan peluang daripada inisiatif ini demi agenda pemodenan sektor agromakanan. Komitmen dan momentum ini akan berterusan sehingga matlamat MAFI untuk mentransformasikan sektor agromakanan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan keselamatan dan nutrisi makanan berjaya dilaksanakan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles