PUCHONG: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Dewan Besar LKIM, Pulau Meranti, Puchong.
Turut hadir dalam program ini, YB Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, YB Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Encik Yusoff Othman, Ketua Pengarah LKIM, dan Tuan Haji Abdul Hamid Bahari, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
1 November 2021 genap usia 50 tahun LKIM sejak penubuhannya pada 1 November 1971. Setelah 5 dekad, kejayaan LKIM dalam pelbagai program dan inisiatif bagi meningkatkan produktivi tangkapan hasil laut dan mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan dan keluarga nelayan menerusi pelbagai bidang di keseluruhan rantaian perikanan yang melibatkan seperti agropelancongan, akuakultur, pemprosesan, aktiviti perdagangan serta industri hiliran telah banyak membantu menaikkan taraf hidup dan sumber ekonomi nelayan dari semasa ke semasa.
Bagi tahun 2021, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta untuk baikpulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan bagi seluruh negara di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).
Menurut Dr Ronald, secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM juga telah memperuntukkan lebih RM 150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.
ESHN pada tahun ini juga telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan untuk nelayan laut yang telah memberi manfaat kepada lebih 40 ribu nelayan laut.
“Pada masa yang sama, Kerajaan juga buat julung kalinya juga telah memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh PERKESO kepada golongan nelayan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia. Skim ini memberikan perlindungan kepada nelayan dan keluarga daripada sebarang bencana pekerjaan dan kemalangan.
Setakat ini, sejumlah 35,238 orang nelayan yang juga merupakan penerima ESHN telah mencarum di bawah SKSPS ini dengan nilai bayaran sejumlah RM5.5 juta, kata Dr Ronald.
Dr Ronald berkata usaha pembangunan sektor perikanan akan terus diberi penekanan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Sektor agromakanan dijangka berkembang dengan peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan mekanisasi dalam aktiviti pertanian termasuk aktiviti perikanan.
“Dalam usaha meningkatkan kemampanan sumber perikanan negara pula, DAN 2.0 telah merangka pelbagai strategi, di mana antara strategi utamanya adalah mengimbangi nisbah pendaratan ikan marin dan akuakultur dengan nisbah 60:40. Selain itu, keupayaan pemantauan, kawalan dan pengawasan (MCS) di sekitar kawasan marin akan dipertingkatkan bagi mengekalkan biodiversiti dan ekosistem yang menjadi sumber perikanan.” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, MAFI sedang melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan DSMN) sebagai usaha memperkukuh daya tahan sistem makanan negara dengan menggariskan lima teras strategik iaitu perluasan pengguna teknologi; pemerkasaan kajian dan penyelidikan; pemerkasaan data sekuriti makanan; perluasan kolaborasi strategik; serta pengukuhan governans jabatan dan agensi.
MAFI akan menerima 1.7 bilion ringgit bagi meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022. Tambahan lagi, Kerajaan juga memperuntukan dana khas sebanyak 120 juta ringgit yang antara lain, bagi tujuan program pembangunan industri akuakultur dan kerang. Ini mencerminkan Kerajaan sentiasa prihatin dan tidak mengenepikan mana-mana kumpulan sasar Keluarga Malaysia termasuk golongan nelayan.
LKIM akan terus memainkan peranan sebagai agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa.