KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah memberi kebenaran kepada Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) untuk memberi pinjaman kepada penjawat awam Sabah.
Presidennya, David Chan (gambar) berkata sudah tiba masanya kakitangan kerajaan B40 memiliki rumah mampu milik.
Katanya pada masa ini banyak rumah yang dibina agak mahal harga dan ini menyukarkan penjawat awam untuk memiliki rumah.
“Rumah merupakan keperluan asas yang amat penting dalam kehidupan manusia pada hari ini.
“Persatuan Pengguna Bijak Sabah tahu yang kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji sentiasa mengambil berat mengenai keperluan rakyat mendapatkan perumahan yang selesa dan mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Jelas beliau, perumahan yang dibina akan memberi keutamaan kepada golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Tambah David lagi, pinjaman ini juga boleh menggalakkan kakitangan kerajaan untuk mendorong bekerja lebih keras untuk kerajaan dan untuk perkhidmatan awam.
Persatuan Pengguna juga berharap sektor kewangan swasta dan jurubank akan pertimbangkan supaya mereka yang layak melanjutkan skim pembayaran mudah untuk golongan berpendapatan rendah, supaya mereka juga boleh memiliki rumah.
Sementara itu David turut menyambut baik pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam yang mengumum peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk meneruskan projek-projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.
“RM2 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi membantu golongan tiada pendapatan tetap membeli rumah,” ujar beliau lagi.