KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengingatkan syarikat awam tidak tersenarai (UPC) yang ingin mengumpul dana daripada orang ramai supaya mematuhi Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan garis panduan berkaitan, terutama apabila tawaran itu dibuat kepada pelabur runcit.
Menerusi kenyataan hari ini, pengawal selia itu menjelaskan pihaknya menerima jumlah pertanyaan dan aduan yang semakin meningkat berkaitan dengan UPC yang menawarkan sahamnya, termasuk saham keutamaan, untuk pelabur runcit dan sofistikated.
Dalam kes tertentu, saham tersebut dipasarkan atau ditawarkan melalui panggilan telefon, diikuti dengan mesyuarat bersemuka dengan ejen UPC, menurut SC.
Pengawal selia itu menjelaskan CMSA menghendaki prospektus diterbitkan apabila saham UPC ditawarkan kepada pelabur runcit.
Prospektus tersebut juga perlu didaftarkan dengan SC.– BERNAMA