KOTA KINABALU; Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak 4.66 bilion ringgit bagi negeri Sabah manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bakal disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.
“Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ismail berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu malam ini.
Beliau berkata prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’ akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak agar kemakmuran yang dikecapi dapat dinikmati secara saksama.
Dalam pada itu, beliau berkata Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 turut diperluaskan.
Jelasnya, ia sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G.
Katanya, kerajaan memperuntukkan 7.7 bilion ringgit bagi tempoh lima tahun, dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak 3.61 bilion ringgit, dan Sarawak 4.09 bilion ringgit.
Beliau berkata perkhidmatan ini turut memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah, dan 2.8 juta penduduk di Sarawak.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Katanya kerajaan akan terus memperhalusi perkara- perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan, menerusi Majlis Khas MA63.
Beliau berkata majlis itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak, serta lapan Menteri Persekutuan.
Ismail berkata usaha itu membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.
“Kita bersyukur meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya.