Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Umno Sabah berpadangan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan blok pembangkang ketika negara berhadapan dengan masalah kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang positif.
Ketuanya Dato Sri Bung Moktar Radin (gambar) berkata walaupun perjanjian kerjasama itu bersifat sementara dimana blok pembangkang akan menjadi pembangkang di dewan rakyat namun pandangan mereka tetap akan diambil kira oleh kerajaan untuk kebaikan negara dan rakyat.
“Perundingan ini dibuat atas kepentingan negara dan rakyat, selepas keseluruhan rakyat menerima vakisnasi kerajaan boleh mengadakan pilihanraya umum,” katanya ketika dihubungi sebagai mengulas kerjasama antara kerajaan dan blok pembangkang
Pada isnin lepas kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik
MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengandongi tujuh tawaran Tranformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara .
Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun
Menurut Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri kerjasama itu bukan sahaja akan membawa kebaikan dari sudut politik, malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca COVID-19.
“Kerjasama ini akan sekurang-kurangnya membawa keamanan dalam negara, menjernihkan seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat.
“Kita tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepimpinan yang kukuh, jadi kerjasama yang bermakna akan memberi peluang untuk kerajaan bergerak dengan lebih efektif,” katanya
Tambah Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatngan pemeteraian MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.
“Kita yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.