Penduduk Pulau Mantanani penerima vaksin CanSino terawal di Sabah: Fairuz

KOTA BELUD: Seramai 650 penduduk di Pulau Mantanani menjadi antara penerima suntikan vaksinasi COVID19 jenis CanSino di negeri Sabah hari ini.

Advertisements

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata usaha pemberian vaksin jenis CanSino itu dipercepatkan kerana vaksin tersebut adalah vaksin yang hanya memerlukan satu dos dan amat mudah untuk diberikan kepada penduduk khasnya di kawasan pedalaman.

“Hari ini, di sini, kita datang ke pulau dan saya yakin dengan adanya vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos suntikan, pastinya usaha untuk memastikan penduduk di sekitar kawasan pedalaman dan agak susah untuk dicapai dengan jaringan pengangkutan dan jarak, akan lebih mudah untuk direalisasikan.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya berbangga kerana rakyat saya di kawasan ini menjadi penerima terawal bagi suntikan vaksinasi CanSino dan semoga usaha kita untuk mencapai perlindungan imunisasi kelompok berjaya dicapai segera,” katanya.

Fairuz berkata demikian semasa hadir dalam Program Vaksinasi Outreach DUN Pintasan di Pulau Mantanani hari ini.

Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah itu juga menegaskan bahawa vaksin telah terbukti amat membantu dalam usaha untuk mengurangkan risiko serta komplikasi yang dialami oleh pesakit yang disahkan positif COVID19.

“Kita lihat sendiri, pengurangan kes-kes positif yang berada bagi tahap empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan, dan kebanyakan kes positif baharu ialah bagi tahap satu dan dua.

“Inilah kejayaan vaksin yang mula kita lihat memberi kesan positif dan pastinya usaha murni pihak kerajaan kepada rakyat harus sentiasa dikenang,”tambahnya lagi.

Menurut Fairuz lagi, kerjasama semua pihak seperti petugas barisan hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Skuad N8 Pintasan dan ARMADA BERSATU Negeri Sabah banyak membantu khasnya bagi merealisasikan usaha bagi membentuk imuniti kelompok khasnya di DUN Pintasan.

“Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya berharap agar kita semua dijauhkan dari virus ini dan segera mencapai kejayaan dalam memerangi pandemik yang merencatkan pertumbuhan ekonomi serta menjejaskan kesihatan rakyat sejagat di seluruh dunia,” ujar Fairuz lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles