KUALA LUMPUR, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik COVID-19, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun, beliau berkata ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.
Katanya beliau telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Muhyiddin berkata walaupun beliau pada awalnya mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan, manakala cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan ditolak oleh parti pembangkang.
— BERNAMA
Saya telah ikhtiar hingga ke saat akhir’ – Muhyiddin
Advertisements